Bagaimana mengelakkan diri daripada bertangguh?

Falsafah Siti Suriani Othman
Terkini oleh Siti Suriani Othman
Bagaimana mengelakkan diri daripada bertangguh?
Bagaimana mengelakkan diri daripada bertangguh? © Aaron Amat | Dreamstime.com

Bagaimana mengelakkan diri daripada bertangguh? Artikel ini akan membincangkan beberapa petua untuk mengelakkan diri daripada bertangguh melakukan sesuatu kerja.

Orang bertangguh orang yang rugi!

Bertangguh ialah kecenderungan seseorang untuk melakukan sesuatu tugas atau kerja di kemudian masa dan tidak segera melakukan dan menyiapkan tugasan yang harus dilaksanakan.  Ada banyak sebab seseorang itu bertangguh.

Kajian oleh Universiti DePaul memberi empat sebab utama seseorang itu bertangguh.

  • Pertama, bertangguh kerana risau dengan hasil kerja yang mungkin tidak sempurna
  • Kedua, lebih selesa melakukan tugasan atau kerja lain yang kurang memberi tekanan
  • Ketiga, bertangguh kerana tidak suka melakukan hal itu, dan memadamkannya dalam fikiran dan dalam senarai tugasan yang perlu dilaksanakan
  • Keempat, rasa terpaksa melakukan sesuatu dan perasaan itu membuatkan lahirnya rasa memberontak yang membawa kepada bertangguh kerja

Orang yang bertangguh adalah orang yang rugi kerana Rasulullah SAW sendiri ada mengingatkan:

“Barang siapa yang suka melambat-lambatkan pekerjaannya, maka, tidak akan dipercepatkan hartanya.”

(Hadis riwayat Muslim)

Umat Islam jangan bertangguh

Kepentingan untuk tidak pernah bertangguh kerja juga dinyatakan oleh Ibnu Umar r.a:

“Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang musafir. Jika kamu berada di waktu petang, jangan kamu tunggu sehingga waktu pagi. Jika kamu berada di waktu pagi, jangan kamu tunggu sehingga waktu petang. Ambillah dari waktu sihatmu (bagi persediaan) untuk waktu sakitmu dan ambillah dari waktu hayatmu (bagi persediaan) untuk waktu matimu.”

(Hadis riwayat al-Bukhari, 6053)

Peringatan ini sangat berkait dengan kebijakan menjaga masa.

“Dua kenikmatan yang kebanyakan manusia terpedaya dengan keduanya iaitu; nikmat sihat dan nikmat waktu lapang.”

(Hadis riwayat al-Bukhari, 6412; al-Nasai, 2304 dan Ibnu Majah, 4309)

Mereka yang menjaga masanya, sering kali adalah mereka yang jarang bertangguh. Mereka yang menghargai masa akan segera melaksanakan tugasan yang diberikan tepat pada masanya, serta dilaksanakan dengan baik.

Itulah yang diharapkan kepada umat Islam yang sejati: menghargai masa, menggunakan masa dengan sebaiknya, melakukan tugasan dalam masa yang ditetapkan, malah mempunyai lebih masa untuk meneroka pelbagai aspek baharu yang meningkatkan kreativiti dan produktiviti dirinya.

Petua mengelakkan bertangguh

1. Pastikan ada senarai tugasan

Adakan senarai tugasan setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan agar jelas apakah tugasan yang perlu dilaksanakan segera dan sebaliknya. Ini bermakna, seseorang itu perlu mula jadi seorang yang teratur dan tersusun jadual hariannya. Perancangan sangat penting dalam memastikan seseorang boleh menjadi lebih teratur hidupnya dan melaksanakan tugasan dalam waktu yang ditetapkan.

2. Sediakan jadual setiap hari

Ada orang yang memerlukan penentuan masa bilakah sesuatu tugasan boleh diselesaikan. Maka, cadangkan masa sesuatu perkara boleh dibuat dalam senarai tadi.

3. Lakukan perkara-perkara yang mudah dahulu

Buat perkara mudah dahulu dalam senarai yang disediakan. Lakukan perkara yang sukar dan memerlukan masa yang lama boleh dilakukan setelah tugasan yang mudah selesai. Ini memberi motivasi kepada diri kerana senarai yang panjang sudah mula memendek dan menampakkan hasil.

4. Bijak membezakan perkara yang perlu dibuat

Bezakan perkara-perkara yang melalaikan atau yang membuang masa. Misalnya, ajakan minum kopi oleh seorang rakan dan mengambil masa sehingga dua jam mungkin boleh disantuni tetapi bukan setiap hari.

5. Sentiasa memotivasi diri secara dalaman

Motivasi di sini ertinya mengingatkan diri bahawa lebih banyak produktiviti bermakna lebih banyak ibadah dan ganjaran yang diperloleh. Mana mungkin Allah SWT memberi banyak ganjaran kepada seseorang jika dia tidak melakukan apa-apa yang berhasil dan bermanfaat!

Memang tidak mudah untuk seseorang itu menukar habitnya yang suka bertangguh terutama bagi mereka yang mempunyai personaliti diri yang memang suka bertangguh.

Namun, personaliti boleh diubah berkat perancangan dan habit yang lebih baik dan berbeza. Yang penting keinginan untuk berubah!