Bagaimana mengurus sampah alatan atau peranti elektronik?

Teknologi 17 Mac 2021 Hanita Hassan
Hanita Hassan
Bagaimana mengurus sampah alatan atau peranti elektronik?
Bagaimana mengurus sampah alatan atau peranti elektronik? © Damrong Rattanapong | Dreamstime.com

Sehingga Januari 2020, terdapat lebih empat bilion pengguna internet di seluruh dunia.  Dengan bilangan pengguna yang begitu ramai, setiap tahun syarikat-syarikat elektronik berlumba-lumba mengeluarkan model baharu telefon pintar bagi pencinta yang aktif media sosial.

Malaysia tidak terkecuali menjadi antara pasaran penting pemain industri peranti elektronik memandangkan pengguna di negara ini aktif dalam pelbagai aktiviti media sosial.  Di sebalik kepesatan peranti ini, apabila ia ditukar yang baharu, apakah nasib telefon bimbit lama khususnya yang telah rosak.

Sampah alatan atau peranti elektronik

Mungkin ada kalangan kita masih menyimpan telefon lama sebagai kenangan.  Tidak kurang juga yang membuangnya terus.  Sama seperti sampah pepejal domestik yang anda buang setiap hari, sampah gadget atau alatan elektronik (sisa elektronik) juga perlu diasingkan supaya ia boleh dikitar semula.

Ia kerana komponen elektronik yang terdapat pada telefon pintar, komputer dan perkakasan rumah mengandungi bahan pencemar. Bahan pencemar ini tidak boleh terurai secara semula jadi dan boleh menjadi pembunuh senyap.

Merkuri pada telefon boleh merosakkan kulit dan kemerosotan ingatan.  Manakala kadmium menyebabkan sakit paru-paru, buah pinggang serta tulang.

Berdasarkan laporan pihak SIRIM QAS,  antara tahun 2009 dan 2014, sejumlah 65.7 juta telefon bimbit telah didaftarkan di negara ini.  Jumlah ini tidak termasuk telefon bimbit yang dibawa masuk tanpa rekod.

Jangka hayat telefon pintar dianggar sekitar 18 hingga 24 bulan sahaja.  Sama ada ia masih tersimpan di rumah atau telah selamat dibuang di tempat pelupusan sampah.  Ia boleh dianggap sebagai e-sisa.

Dalam jangka panjang, sisa elektronik akan mengeluarkan logam berat ke tanah dan air apabila tidak dilupuskan atau dikitar semula mengikut piawaian yang ditetapkan.

Malahan sisa elektronik boleh menimbulkan ancaman kepada alam sekitar dan kesihatan serta keselamatan manusia. Ia kerana sisa elektronik mengandungi bahan berbahaya yang memberi kesan kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.

Mengurus dan melupuskan alatan elektronik

Hari ini masyarakat tegar berganti peranti seperti menukar baju terutama telefon pintar.  Sebelum anda membuang peranti lama ke tong sampah, anda boleh cuba menjualnya.

Sekiranya telefon bimbit atau komputer riba anda masih baik dan boleh digunakan, sumbanglah kepada mereka yang memerlukan. Jadilah pengguna bijak.

Uruskan semua peranti lama yang tidak dipakai ke tempat pelupusan peranti mudah alih di lokasi yang disediakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di seluruh negara.

Anda boleh membuang telefon rosak dan aksesori elektronik lain.  Ia termasuk alat pengecas dan pemain muzik elektronik, komputer, peti sejuk dan barangan elektrik.

Justeru jadilah pengguna bijak.  Jangan sampai anda terlibat memusnahkan alam ini kerana sikap yang buruk anda. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

(Surah ar-Rumm, ayat 41)