Bagaimana menjadi suami penyokong kerjaya isteri

Perkahwinan Hanita Hassan
Pendapat oleh Hanita Hassan
Bagaimana menjadi suami penyokong kerjaya isteri
Bagaimana menjadi suami penyokong kerjaya isteri © Montri Thipsorn | Dreamstime.com

Para isteri adalah permaisuri dalam rumahtangga, namun isteri juga mempunyai impian untuk membina kerjaya.  Impian itu sudah dipupuk sejak kecil lagi di dalam minda. Kita mahu menjadi apa setelah meningkat dewasa? Soalan yang sering ditanya oleh guru berulang-ulang kali semasa di sekolah.

Sekiranya apa yang diimpikan itu menjadi kenyataan, sudah tentu ia adalah saat yang paling menggembirakan.

Suami penyokong kerjaya isteri

Bayangkan sekiranya anda ingin mengejar cita-cita sebagai doktor, anda memerlukan lima ke tujuh tahun untuk membolehkan anda diiktiraf sebagai doktor.  Begitu juga dengan bidang-bidang profesional lain, seperti peguam, akauntan, jurutera, arkitek, guru, ustaz mahpun ustazah dan sebagainya.

Perkahwinan adalah perkongsian hidup dua jiwa.  Bukan sahaja lautan api sanggup direnangi tetapi lebih daripada itu, dapat membina mahligai sehingga ke syurga. Sebagai suami, anda perlu memahami kerjaya isteri lebih daripada orang lain.

Ia kerana anda adalah orang yang paling rapat dengan isteri. Kejayaan isteri bermakna kejayaan anda juga. Walaupun mungkin ada yang tidak setuju dengan pendapat ini.

Tidak kira apa jua jawatan isteri, tugas di rumah masih perlu diuruskan. Sebaik sahaja tiba di rumah, kerja-kerja menjaga anak, memasak, mengemas rumah, membasuh baju sudah menanti untuk disiapkan.

Sebagai suami anda perlu turut bersama membantu kerana masing-masing bekerja dan sama-sama penat. Sekiranya anda tidak pandai memasak, uruskan anak, bagi makan atau mandikan dia. Meskipun tidak banyak yang boleh anda buat, namun ia boleh melegakan perasaan isteri yang kepenatan.

Kita sering melihat kepada usaha besar, sebaliknya tugas kecil ini kadang-kadang memberi ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan rumahtangga.

Bantu isteri di rumah, hubungan perkahwinan akrab

Nabi Muhammad SAW adalah suri teladan yang boleh dicontohi. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, melalui Aisyah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Aisyah r.a pernah ditanya seorang lelaki yang bernama Aswad tentang apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika dalam rumahnya?  Maka Aisyah menjawab: Rasulullah SAW sentiasa membantu ahli keluarganya dalam kerja rumah.  Dan apabila tiba masuk waktu solat, Baginda keluar untuk solat.”

(Hadis riwayat Bukhari)

Pada zaman pemerintahan Umar Al Khattab r.a, beliau telah melantik seorang Gabenor di sebuah wilayah di Hims, Syria bernama Said bin Amir.  Meskipun seorang pemimpin besar, namun Said bin Amir sentiasa memastikan keadaan di rumah dalam keadaan baik sebelum keluar bertemu rakyat.

Selepas solat dan membaca al-Quran, Said bin Amir akan membantu isteri menyiapkan adunan roti, menunggu masak dan membahagikan kepada mereka. Selepas berwuduk, baharulah beliau keluar bertemu masyarakat.

Membantu isteri dan melakukan kerja-kerja rumah tidak merendahkan taraf suami.  Malahan ia sudah menjadi amalan para suami sejak zaman Rasulullah SAW. Membantu isteri di rumah akan menjadikan hubungan perkahwinan bertambah akrab.

Apabila isteri anda gembira dengan suasana di rumah, sudah tentu para isteri dapat melaksana tugas di tempat kerja dengan lebih tenang dan fokus kepada kerja. Sekali sekala, pada cuti hujung minggu, anda boleh mengajak isteri keluar ‘date’ dan meninggalkan anak-anak di bawah jagaan ibu bapa atau penjaga.

Apabila berdua, masing-masing boleh bercerita tentang kerja dan apa sahaja yang terlintas di minda. Sesungguhnya kehidupan ini sangat indah. Anda perlu pandai mengaturnya dan paling penting tidak sesekali meninggalkan agama dalam apa jua situasi.