Bagaimana menuntut Fasakh dalam pernikahan? Ini syaratnya

Perkahwinan 06 Mac 2021 Md Wa'iz
Terkini oleh Md Wa'iz
Bagaimana menuntut Fasakh dalam pernikahan? Ini syaratnya
Bagaimana menuntut Fasakh dalam pernikahan? Ini syaratnya © Airdone | Dreamstime.com

Jika sesuatu perkahwinan itu diyakini tidak akan berkekalan disebabkan perkara tertentu, seseorang individu boleh meminta perpisahan dengan cara menuntut fasakh.

Apakah syarat memohon fasakh ini?

Maksud sebenar Fasakh

Kita boleh huraikan maksud fasakh ini daripada segi bahasa dan juga istilahnya. Daripada segi bahasa, fasakh membawa makna ‘batal atau bubar’.

Daripada segi istilah pula, fasakh membawa maksud membatalkan sesuatu pernikahan kerana terdapatnya perkara-perkara yang memberi kesan terhadap kelangsungan sesebuah pernikahan.

Dengan kata yang lebih mudah, fasakh adalah satu kaedah membubarkan pernikahan kerana sebab-sebab yang boleh menggugatkan pernikahan tersebut. Namun, ada beberapa syarat tuntutan fasakh yang membolehkan seseorang individu itu memohon fasakh.

Syarat menuntut fasakh

Terdapat beberapa perkara atau aib yang dibolehkan oleh syarak bagi seseorang individu itu menuntuk fasakh.

Perkara-perkara tersebut ialah:

  • Tidak diketahui keberadaan mereka dalam tempoh lebih satu tahun
  • Suami tidak memberikan nafkah isteri selama tiga bulan
  • Telah dihukum penjara selama tiga tahun atau lebih
  • Tidak menunaikan nafkah batin selama satu tahun tanpa sebab yang munasabah
  • Suami mengalami mati pucuk
  • Menjadi gila selama dua tahun
  • Mempunyai penyakit kusta atau penyakit kelamin yang boleh berjangkit
  • Kerap menzalimi pasangan
  • Berkawan dengan individu-individu jahat
  • Memaksa isteri hidup secara lucah
  • Melupuskan harta milik isteri
  • Menghalang isteri melakukan kewajipan agama
  • Tidak berlaku adil kepada isteri-isterinya jika berkahwin lebih daripada seorang isteri
  • Tidak menunaikan nafkah batin kepada isterinya walaupun telah empat bulan bernikah
  • Alasan-alasan lain yang diiktiraf hukum syarak

Cara menuntut fasakh 

Dalam Mazhab Syafie, seseorang individu sama ada isteri atau suami, berhak untuk memohon fasakh sekiranya terdapat kecacatan pada pasangannya. Kecacatan yang ada pada pasangannya itu dianggap boleh mengganggu pemberian nafkah terhadap dirinya.

Seseorang individu boleh memohon fasakh melalui pihak kadi atau mahkamah syariah disebabkan oleh beberapa perkara seperti yang dinyatakan sebelum ini. Sebagai contoh, isteri perlu membuat aduan rasmi kepada pihak kadi bagi membatalkan perkahwinan bersama suaminya.

Pihak kadi akan mengesahkan permohonan tersebut sekiranya alasan tersebut terbukti. Namun, sekiranya pasangan ini ingin merujuk kembali, mereka perlu mengadakan akad nikah yang baharu.

Fasakh juga boleh dituntut oleh pihak suami

Fasakh bukan sahaja boleh dituntut oleh pihak isteri, malah pihak suami juga. Syarat menuntut fasakh dan prosedurnya adalah sama sahaja. Jika si suami mempunyai sebab-sebab atau syarat-syarat seperti yang dinyatakan di atas, maka si suami juga berhak memohon fasakh kepada pihak mahkamah.

Namun, sekiranya sesebuah perkahwinan itu dapat diselamatkan, maka berusahalah ke arah itu. Apatah lagi jika perkahwinan tersebut telah berlangsung dalam tempoh yang lama dan mempunyai anak.

Fikirkan kesejahteraan anak-anak anda terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tindakan. Berbincanglah bersama pasangan untuk mencari kata putus yang menyebelahi anak-anak anda.