Bagaimana merawat dosa yang berulang

Sahsiah Zalina Majid 25-Ogo-2020
Merawat dosa yang berulang © Heru Anggara | Dreamstime.com

Pernahkah kita menyesal atau insaf dengan dosa yang pernah dilakukan? Jika ada ia menunjukkan cahaya iman itu masih ada dalam diri kita. Perasaan penuh menyesal dan bertekad untuk tidak kembali melakukan lagi kesilapan. Namun dalam satu tempoh kita mula kembali kepada dosa lalu.

Membiarkan kesilapan terus berulang tanpa rasa kesal dan tidak ingin bertaubat adalah sesuatu yang amat malang. Justeru, dosa dan kesilapan itu perlu dirawat. Hidup kita perlu dibimbing Allah SWT agar sentiasa berada dijalan-Nya.

Oleh yang demikian itu, beberapa aspek perlu kita ambil perhatian apabila memulakan tindakan.

Pertama: Kita perlu bertaubat dan memohon keampunan Allah SWT dan berazam tidak mengulanginya lagi. Sebagaimana firman Allah dalam surah an-Nisa’, ayat 110 yang bermaksud: “Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Bahkan, hal ini juga dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam hadis Baginda:

Seorang itu telah melakukan satu dosa lalu dia berkata: “Wahai Tuhanku ampunilah dosaku.”

Lalu Allah Azzawajalla berfirman: “Hambaku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya.”

Dalam riwayat yang lain ditambah: “Aku ampunkan dosanya.”

Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: “Wahai Tuhanku, aku telah melakukan dosa, ampunilah dosaku.”

Lalu Allah SWT berfirman: “Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya.”

Dalam riwayat yang lain ditambah: “Aku ampunkan dosanya.”

Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: “Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa. Ampunilah dosaku.”

Lalu Allah SWT berfirman: “Hambaku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka Aku ampunkan hambaku ini, buatlah apa yang kau mahu, Aku ampunkan engkau.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kedua: Insan atau anak Adam itu ada kelemahannya. Kita perlu mengulangi taubat dan jangan putus asa dengan rahmat-Nya. Syaitan akan sentiasa membisikkan putus asa dalam jiwa kita sedangkan Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penerima Taubat.

Ketiga: Mengekalkan kebaikan dengan berdamping orang yang soleh dan teman yang sentiasa memberi nasihat dan berpesan kepada kesabaran. Sentiasa dalam kelompok orang-orang yang positif ia membantu memberi perubahan besar pada kita.

Keempat: Mula melakukan amalan yang menambahkan keimanan seperti puasa sunat. Sabda Nabi Muhammad SAW: “Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj. Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat).” (HR al-Bukhari, 5065 dan Muslim, 3466)

Kelima: Elakkan diri kita dari bersendirian dan sibukkan diri dengan menjernihkan pemikiran. Muhasabah diri dan fikirkan kesan negatif yang membawa kepada kesihatan mental dan fizikal diri sendiri dan orang sekeliling.

Selamat memulakan tindakan, supaya semua aspek di atas dapat membantutkan nafsu dan keinginan kita dari terus melakukan dosa dan kesilapan. Ingatlah ! Allah itu Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.