Bagaimana untuk menahan diri ketika marah?

Islam 28 Dis 2020 Zalika Adam
Pendapat oleh Zalika Adam
Bagaimana untuk menahan diri ketika marah?
Bagaimana untuk menahan diri ketika marah? © Alief Putra Yudha | Dreamstime.com

Marah adalah satu sifat yang lahir secara semula jadi dalam diri setiap manusia. Ia bergantung kepada kekuatan individu cara untuk mengawalnya.

Kadangkala ekspresi ini wujud secara spontan tanpa disedari ketika kita dicela, difitnah dan dizalimi.

Menahan diri ketika marah

Menurut Kamus Dewan, ‘Marah’ bermaksud ‘berasa panas hati kerana ditipu (dihina), perasaan panas hati, berang, gusar dan murka’. Bak kata pepatah Melayu, ‘Tersaukkan ikan,suka, tersaukkan batang, masam’ yang bermaksud ketika untung bersuka ria, ketika rugi marah-marah.

Nabi Muhammad SAW pernah berasa marah dalam beberapa peristiwa. Seperti kisah Usamah bin Zaid yang pernah membunuh seorang musuh di medan perang yang akhirnya sempat mengucapkan syahadah. Baginda berkata kepada beliau:

“Apakah kamu membunuhnya sedangkan dia telah mengucapkan La ilaha illa Allah? Usamah menjawab: Dia hanya mengucapkannya kerana takut dibunuh. Nabi SAW membalas: Apakah kamu telah membelah hatinya untuk mengetahui samada dia benar-benar beriman ataupun tidak?”

(Hadis riwayat Sahih Muslim)

Menahan marah (Ammarah) 

Menahan diri daripada marah merupakan satu sifat terpuji dan dituntut. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya:

“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.”

(Surah Al-i Imran, ayat 134)

Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya:

“Seorang pemuda meminta nasihat daripada Nabi SAW, dan Nabi SAW bersabda: Janganlah kamu menuruti amarah. Dia mengulangi pertanyaannya, dan Nabi mengulanginya sebanyak tiga kali.”

(Hadis riwayat Abu Hurairah, Sahih Bukhari)

Baginda Rasulullah SAW juga pernah bersabda dengan maksud:

“Seorang yang kuat itu bukanlah yang handal bergusti; seorang yang kuat ialah orang yang mampu mengawal dirinya sewaktu sedang marah.”

(HR Sahih Bukhari dan Muslim)

Cara-cara mengawal diri ketika marah

Berikut adalah cara-cara mengawal diri ketika marah sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW, antaranya ialah:

Pertama: Duduk ketika sedang berdiri; berbaring ketika duduk

Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Apabila salah seorang daripada kamu marah sewaktu sedang berdiri, hendaklah dia duduk. Jika kemarahannya hilang, maka itu baik. Jika tidak, hendaklah dia berbaring.”

(Hadis riwayat Sunan Abi Daud)

Kedua: Mengambil wuduk

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya kemarahan itu datang daripada syaitan, dan syaitan itu dicipta daripada api, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka jika salah seorang daripada kalian berasa marah, hendaklah dia berwudhu.”

(HR Sunan Abi Daud)

Ketiga: Tidak membuat keputusan besar

Iaitu ketika menghakimi sesuatu hukum. Seperti di mahkamah tidak membuat keputusan secara drastik ketika dalam keadaan marah, tenangkan diri dahulu sebelum keputusan diputuskan.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya:

“Tidak boleh seseorang itu menghakimi antara dua orang dalam keadaan marah.”

(HR Sahih Muslim)

Keempat: Diam

Mengawal kemarahan melalui diam dapat mengelakkan diri daripada menuturkan perkara-perkara yang negatif seperti mengguriskan hati orang lain dan memberi ancaman kepada diri sendiri.

Hadis Nabi Muhammad SAW yang maksudnya:

“Apabila salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia diam.”

(HR Imam Ahmad)

Kelima: Mengucapkan Isti’azah

Iaitu mengucapkan A’uzubillah min as-Syaitan ar-Rajiim.

Sabda Nabi Muhammad SAW, maksudnya:

“Apabila seseorang itu marah hendaklah mengatakan Auzubillah.”

(Sahih Al-Jami`As-Saghir)

Oleh itu, kita perlulah menahan diri dari kemarahan kerana boleh membawa kita ke arah kebinasaan. Namun, marah dibenarkan seperti Islam dihina dan dicaci. Ketika itu kemarahan perlu ada bagi mempertahankan kedaulatan Islam.