Bahagia hingga ke Syurga (1): hadiah tanda ingatan

dreamstime_s_129319418
Bahagia hingga ke Syurga (1): hadiah tanda ingatan © Lightfieldstudiosprod | Dreamstime.com

Rumah tangga yang dibina tentunya untuk selamanya. Kalau boleh semestinya ingin bahagia hingga ke syurga. Bersama-sama hidup dalam ketakwaan, penuh kehambaan kepada Allah SWT, saling mengingatkan tentang tujuan manusia diciptakan di dunia ini dengan penuh cinta dan harapan.

Apakah tips untuk membina rasa cinta dalam rumah tangga supaya ahlinya sentiasa berasa tenang dan penuh kasih sayang di rumah mereka? Sebelum itu, ingin ditekankan bahawa cabaran setiap orang adalah berbeza.

Dunia ini bukan Syurga, maka tentunya pelbagai cabaran dan ujian yang bakal dihadapi dan Allah SWT akan mengganjari kita atas kesabaran dan pengorbanan. Tips yang artikel ini kongsikan lebih kepada perkongsian bagaimana membina bahagia dalam rumah tangga berdasarkan contoh yang diberi oleh Rasulullah SAW.

Biasakan memberi hadiah

Islam tidak meletakkan sebarang kewajipan mahupun larangan dalam perbuatan memberi hadiah sesama manusia. Firman Allah SWT:

فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَرِيئًا

“Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”

(Surah al-Nisa’, ayat 4)

Ibn al-‘Arabi berkata mengenai pemberian dari seorang isteri kepada seorang suami (apabila telah diberi sebagai hadiah) maka pemberian tersebut halal bagi suaminya. Ayat ini menunjukkan bahawa pemberian sesuatu atau menghadiahkan sesuatu kepada seseorang adalah dibolehkan.

Hadiah tidak perlu mahal, keikhlasan yang utama

Perbuatan saling memberi hadiah akan membina rasa kasih sayang. Hadiah sempena ulang tahun perkahwinan, hadiah hari jadi, hadiah sempena mendapat kerja di tempat baru dan sebagainya menjadikan seseorang rasa dihargai dan merasakan mereka istimewa dalam hati orang yang menghadiahkan sesuatu kepada mereka.

Hadiah biasa berdasarkan kemampuan sudah mencukupi. Yang lebih utama adalah keikhlasan. Dengan keikhlasan, hadiah yang kelihatan biasa akan menjadi luar biasa. Pemberian hadiah ini adalah sunah. Dalam hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda

“Hendaklah kamu saling memberi hadiah , nescaya kamu akan saling mencintai.”

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Tanda ingatan bermula dengan diri sendiri

Berikan hadiah ringkas sebagai tanda ingatan hendaklah bermula dengan diri kita. Tanpa mengharapkan balasan melainkan ganjaran dari Allah SWT agar rumah tangga yang dibina penuh kasih sayang dan rahmah.

Percayalah, dengan memberi hadiah, kasih sayang makin bertambah.

(Bersambung: Bahagia hingga ke Syurga (2): percakapan yang baik)