Bahagia hingga ke Syurga (2): percakapan yang baik

Keluarga Hagnas
Muslim woman hijab and friend at the gym doing cardio exercises
Bahagia hingga ke Syurga (2): percakapan yang baik © Odua | Dreamstime.com

Sebelum ini, kita membincangkan tentang kepentingan memberi hadiah kepada pasangan dalam Bahagia hingga ke Syurga (1). Kali ini, kita akan membincangkan tentang kepentingan berkata yang manis-manis dengan pasangan. Perkataan yang baik akan menghasilkan perkara yang baik.

Pujilah pasangan dan ucapkan terima kasih

Pujilah pasangan anda atas usaha yang diberikan mereka dalam rumah tangga. Contohnya apabila mereka memasak, jangan kedekut untuk memuji makanan yang mereka masak. Hargai suami yang berusaha untuk mencari sesuap nasi buat ahli keluarga tercinta. Pujilah pengorbanan mereka dan ucapkanlah terima kasih.

Pujilah kecantikan atau kesegakan pasangan anda. Jika bukan anda yang memuji mereka, maka siapa lagi yang patut memuji mereka? Jangan kedekut untuk memuji baju baru mereka, gaya rambut mereka, dan sebagainya.

Yang paling utama untuk dipuji selain fizikal adalah sikap baik mereka seperti rumah yang sentiasa kemas, sampah yang sentiasa dibuang, alunan al-Quran yang didendang, malam yang didirikan dengan amal soleh dan sebagainya.

Harus diingat bahawa jangan berlebihan pula dalam memuji dan juga jangan memuji secara dusta. Ini adalah dilarang dalam agama.

Panggilan yang romantik

Panggillah pasangan dengan panggilan yang romantis. Rasulullah memanggil Aisyah r.a dengan nama humaira’ yang bermaksud ‘pipi yang kemerah-merahan’. Ya humaira’  memberi maksud wahai isteriku yang pipinya kemerah-merahan. Di sini terdapat pujian juga panggilan yang romantis.

Percakapan yang baik

Sentiasa biasakan lidah untuk bercakap yang baik atau diam. Jika merajuk atau marah sekalipun cubalah untuk tidak menuturkan perkataan buruk.

Rasulullah saw pernah ditanya tentang siapakah sebaik-sebaik seorang Muslim itu, maka jawab Nabi Muhammad SAW:

“(Mereka) yang memberikan rasa aman kepada saudara Muslim-nya daripada gangguan lisan dan tangannya.”

(Hadis riwayat Bukhari)

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam…”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Perkataan baik kesudahan yang baik

Perkataan yang baik akan menatijahkan perbuatan yang baik. Sentiasa saling menghormati sesama pasangan, berusaha untuk tidak melukakan pasangan dengan kata-kata mahupun perbuatan.

Ingatlah yang kita ingin membina bahagia di dunia ini dan ingin memasuki syurga bersama-sama pasangan kita yang Allah SWT kurniakan kepada kita. Menelusuri perjalanan kehidupan bersama-sama.