Bahagia hingga ke Syurga (3): akui kelemahan dan saling membantu

Perkahwinan 25 Nov 2020 Hagnas
Bahagia hingga ke Syurga (3): akui kelemahan dan saling membantu
Bahagia hingga ke Syurga (3): akui kelemahan dan saling membantu © Odua | Dreamstime.com

Bahagia hingga ke Syurga (3): akui kelemahan dan saling membantu – siri ketiga ini akan melihat kepada kebahagiaan yang merupakan impian setiap pasangan yang ingin atau telah mendirikan rumahtangga.

Tiada yang sempurna di dunia ini, ‘Sedangkan lidah lagi tergigit, apatah lagi hubungan suami isteri’.

Menerima dan mengakui kelemahan sendiri

Apa yang perlu dilakukan adalah meminimakan perkara-perkara yang menyebabkan pergaduhan serta ketidakselesaan dalam bercakap dan berhubungan. Bagaimanakah untuk membina rumahtangga yang bahagia hingga ke Syurga?

Setiap kita tentunya ingin menjadi yang terbaik. Kadang-kadang kita mengalami tekanan disebabkan cuba melaksanakan yang terbaik dalam rumahtangga walaupun kita tidak mampu.

Cubalah yang terbaik, tetapi jika tidak mampu, akuilah dan mintalah pertolongan dari pasangan dan nikmatilah kehidupan bersama-sama yang tersayang. Kehidupan rumahtangga adalah kehidupan yang saling melengkapi.

Berusaha untuk saling membantu

Hendaklah berusaha untuk saling  membantu dan melengkapi antara satu sama lain. Ini antara contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam berinteraksi dengan isteri Baginda. Walaupun Rasulullah SAW adalah pemimpin negara, namun baginda merupakan suami yang sangat menyayangi dan membantu isteri di rumah.

Diriwayatkan daripada Aisyah r. a:

“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam dalam kesibukan membantu isterinya, dan jika tiba waktu sholat maka beliaupun pergi solat.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Juga hadis yang diriwayatkan dari Aisyah r.a:

Aku pernah melihat baginda Rasul SAW menaungi aku dari terik matahari dengan kain serban baginda sendiri, kerana pada ketika itu aku sedang asyik menonton orang-orang Habsyah sedang membuat pertunjukan di masjid, akhirnya aku merasa jemu melihat permainan tersebut.

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Saling membantu antara suami dan isteri akan menimbulkan perasaan disayangi dan dihargai. Perasaan ini akan membuahkan bahagia dalam jiwa suami dan isteri.

Aku sudah buat atau belum?

Perlu diingat, kata kunci yang paling penting dalam meningkatkan kebahagiaan ialah bukan pasanganku sudah buat atau belum tetapi aku sudah buat atau belum.

Apakah aku telah memberi hadiah pada pasanganku?

Sudahkah aku mengucapkan perkataan yang manis dan baik pada pasanganku?

Bagaimana aku boleh membantu pasanganku pada hari ini?

Apa yang kita telah lakukan, Allah SWT tidak akan sia-siakan. Beramallah dan berdoalah agar rumah tangga sentiasa dirahmati dan diberkati.