Bahagia hingga ke Syurga (5): kasih sayang dan sentuhan pasangan

Perkahwinan Hagnas
Pilihan oleh Hagnas
Bahagia hingga ke Syurga (5): kasih sayang dan sentuhan pasangan
Bahagia hingga ke Syurga (5): kasih sayang dan sentuhan pasangan © Odua | Dreamstime.com

Bahagia hingga ke Syurga (5): kasih sayang dan sentuhan pasangan – ini adalah artikel terakhir daripada lima dalam siri Bahagia hingga ke Syurga.

“Sesungguhnya seorang suami melihat isterinya (dengan kasih sayang) dan isterinya pun melihatnya (dengan kasih sayang pula), maka Allah SWT melihat kedua-duanya dengan pandangan kasih sayang. Dan apabila suami memegang telapak tangan isterinya, maka dosa-dosa mereka keluar dari celah jari-jari tangan mereka.”

(Riwayat Rafi’i dari Abu Sa’id)

Apabila satu pasangan telah diikat dengan ikatan perkahwinan, maka ekspresi cinta dikira sebagai pahala di sisi Allah SWT.

Banyakkan bersentuhan dengan pasangan

Sentuhlah dan belailah pasangan sentiasa. Firman Allah SWT yang maksudnya:

“Dan bergaullah dengan mereka (golongan wanita) dengan cara yang makruf.”

(Surah An-Nisa’, 4 ayat 19)

Oxytocin atau hormon Oksitosin dirembeskan bila kita bersentuhan. Hormon oksitosin kerap dikaitkan dengan hubungan cinta, kasih-sayang, hubungan dan keterikatan antara manusia. Hormon ini juga dikenali sebagai hormon cinta atau hormon bahagia. Memeluk dan menyentuh pasangan akan mendorong pengeluaran hormon oksitosin ini.

Apakah peranan hormon Oksitosin?

Dipercayai bahawa hormon oksitosin sangat bermanfaat dalam kehidupan. Hormon oksitosin mempersiapkan kelahiran bayi dalam proses kelahiran, melancarkan pengeluaran susu ibu, meredakan tekanan, mengeratkan ikatan dan meningkatkan empati serta banyak lagi.

Oksitosin dirembeskan apabila seseorang bersalaman, merasa malu, atau ketika terjadi sentuhan kecil. Oksitosin mambantu menciptakan ikatan antara seseorang dengan orang lain. Hormon ini juga menambah kebahagiaan dengan menjadikan kehidupan terasa lebih baik. Dalam setiap sentuhan ada pahalanya.

Diriwayatkan dari Abu Zarr al-Ghifari r.a:

“Dan kemaluan salah seorang kamu juga ada sedekah. Ditanyakan: Pada syahwat seseorang juga terdapat sedekah ? Baginda menjawab: Kalau diletakkan syahwat pada tempat yang haram (berzina) tidakkah seseorang itu mendapat dosa ? Begitulah juga apabila syahwat diletakkan di tempat yang halal (persetubuhan suami isteri) maka dia mendapat pahala.”

(Hadis riwayat Al-Bukhari dalam Al-Adab al-Mufrad)

Kasih sayang yang didambakan dalam rumah tangga

Berusahalah untuk banyak bersentuhan dengan pasangan anda. Peluklah mereka, peganglah tangan mereka dengan penuh cinta, dan hargailah mereka.

Kasih sayang, mawaddah dan rahmah yang didambakan dalam kehidupan rumah tangga, kita mulakan semua itu dengan banyakkan sentuhan. Percakapan yang baik, memberi hak pasangan dan mendidik pasangan untuk sama-sama berusaha mencapai matlamat manusia diciptakan.

Matlamat ini ialah menjadi hamba Allah SWT dan khalifah-Nya di muka bumi ini.