Bahasa al-Quran jadi rebutan berterusan

Kepercayaan Zalina Majid 04-Sep-2020
dreamstime_s_18079911
Bahasa al-Quran jadi rebutan berterusan © Tomas Hajek | Dreamstime.com

Bahasa Arab adalah bahasa al-Quran dan bahasa Syurga. Bahasa yang masih terjaga ekstensinya sehingga kini. Masyarakat dunia mula kagum dengan bahasa Arab sebagai bahasa al-Quran sedari dahulu hinggalah sekarang. Fenomena ini terkesan kepada golongan yang menganuti agama Islam itu sendiri mahupun mereka yang berlainan agama.

Umat Islam mula terbuka dan terdedah dengan nilai kepentingan memahami bahasa Arab dengan tujuan yang berbeza malah didorong dengan faktor-faktor sedia ada. Seorang penulis Jerman yang dikenali sebagai Sigri Hunke dalam tulisannya berkata: “Dahulu, anak-anak dari Eropah suka sekali berbusana seperti Muslim. Mereka juga berbangga-bangga menggunakan bahasa Arab.”

Tulisan beliau sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab yang bertajuk ‘Mentari Arab Yang Bersinar di Barat’. Nah! betapa bahasa al-Quran itu menjadi rebutan siapa sahaja yang mula menuturkannya. Masyarakat Islam dan bukan Islam di serata dunia mempunyai bahasa merujuk kepada bangsanya, sudah tentu memerlukan kefahaman untuk memahami bahasa al-Quran dengan pelbagai medium dan cara.

Selain dari mereka yang belajar secara formal, pengajian secara tidak formal juga tidak kurang sibuknya. Kerana apa? Pastinya jiwa-jiwa yang mahukan penghijrahan dan inginkan setiap  langkah mereka menjadi lebih baik dan berkualiti. Lihat sahaja ‘solat kita’, sudah tentu kita tidak mahu ia menjadi suatu perbuatan yang sia-sia.

Para salaf dan ulama terdahulu selalu memberikan motivasi agar bersemangat dalam mempelajari bahasa Arab. Umar Bin Khattab r.a juga ada berkata “Pelajarilah bahasa Arab, kerana sesungguhnya ia sebahagian dari agama kamu” .Kata-kata beliau adalah saranan  untuk kita memahami  Islam itu dengan lebih baik.

Empat perkara yang mendorong masyarakat berlumba-lumba mempelajari dan memahami bahasa al-Quran:

Pertama: Kecenderungan orang Islam memperbaiki solat yang adalah merupakan perkara wajib dengan alasan agar solat yang dilaksanakan lebih khusyuk dan berkualiti. Berusahalah menanamkan tujuan sebenar agar solat yang dilaksanakan penuh dengan rasa kehambaan kepada Sang Pencipta berbanding solat sebelumnya dengan cara memahami maksud setiap butir kalimah yang dibaca. Ia merujuk sejauh mana kita cuba memperbaiki bacaan solat kita dengan kalimah Arab.

Kedua: Mengambil cakna dengan membaca al-Quran bukan sekadar baca namun ia dihayati dengan makna di sebalik firman Allah S.W.T. Untuk memahami maksudnya juga tidaklah semestinya kalimat itu diketahui sedalam-dalamnya akan tetapi memadai dengan memahami kandungan dari helaian yang dibaca. Bagaimanapun, mereka yang berkebolehan memahami setiap susunan bahasa Arab itu adalah  lebih afdal bahkan direnung sebagai nikmat tuhan yang tidak ternilai dan sentiasa disyukuri. Jarakkan diri dari menyimpan sikap berbangga-bangga.

Ketiga: Kesedaran umat kini yang perlukan santapan rohani atau penyucian hati dengan mengambil ibrah dari kisah-kisah yang dibawa di dalam al-Quran. Bukan sekadar itu sahaja, akan tetapi budaya penghayatan yang dapat membuatkan kehendak-kehendak al-Quran terlaksanakan malah diterjemahkan oleh masyarakat sejagat.

Empat: Menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa ketiga sebagai alat komunikasi perantara dalam berurusan dan faktor kelebihan berbahasa asing selain bahasa ibunda di dunia. Perkara ini menjadi sesuatu yang teristimewa bagi  individu yang mampu menuturkan bahasa al-Quran.

Lihat sahaja di sana sini begitu banyak medium dan platform dicipta supaya kita tidak ketinggalan belajar dan memahami tujuan dan kepentingannya. Jika di Malaysia, kelas-kelas agama yang dilaksanakan sudah menjadi suatu trend dan dihiasi dengan pelbagai cabang ilmu. Oleh kerana sikap inginkan kefahaman yang lebih baik dan kesempurnaan kepada agama maka terdapat di antaranya kelas bahasa al-Quran Perkata atau dikenali sebagai kelas Harfiyyah mula berkembang.

Lantaran itu, kita percaya masyarakat Muslim di negara-negara lain juga mengisi peluang yang sama dalam budaya dan suasana yang berbeza. Ironinya, al-Quran tetap mendahului zaman dan tidak ada yang boleh menandinginya. Malahan, al-Quran juga sangat mempengaruhi bahasa dengan manfaat-manfaat yang tidak ternilai kepada seisi dunia.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya, Kami turunkan (al-Quran) sebagai bacaan berbahasa Arab agar kamu semua berfikir.” (Surah Yusuf, ayat 2)

Sebagai manusia wajarlah kita mensyukuri sepenuhnya nikmat keberuntungan yang Allah kurniakan. Berilah peluang kepada diri kita untuk terus mempelajari bahasa al-Quran ini dengan menyebarkannya sebagai suatu kebaikan.