Bahasa Melayu dan saluran memasak Sugu Pavithra

Makanan Syed Safri 19-Mei-2020
Sugu Pavithra © https://www.youtube.com/channel/UC7mNwREuYU-Bc8glCdFwQ_A

Sensasi YouTube Malaysia ‘Sugu Pavithra’ akhirnya amat gembira apabila menerima gaji pertama mereka dari syarikat perkongsian video tersebut. Berasal dari Sungai Siput, Perak, S. Pavithra yang berumur 28, dan suaminya M. Sugu, 29 menjadi Rakan YouTube semenjak bulan Januari tahun ini.

Pavithra mendapat perhatian ratusan ribu para pengguna video YouTube tempatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melalui saluran masakannya di mana beliau bercakap menggunakan bahasa Melayu dengan amat fasih.

Setelah berbulan-bulan menunggu, mereka telah pergi ke pejabat pos besar Perak di Ipoh untuk mengambil gaji tertunda hasil aktiviti berkongsi video di YouTube. Pavithra yang berasal dari Buntong dan ibu kepada dua anak itu berkata, beliau akan menggunakan rezeki tersebut untuk membeli pakaian mereka sekeluarga.

Pavithra dan suami jelas sangat gembira menerima gaji pertama itu setelah sabar menunggu, walaupun tidak sebanyak yang disangka orang di media sosial. Beliau akan menggunakan wang itu untuk membeli pakaian, meluruskan rambut, dan juga membeli kelengkapan beribadat di rumah.

Pavithra juga mengucapkan terima kasih kepada Bernama kerana menjadi organisasi media pertama yang menerbitkan laporan wawancara pada 8 Mei. Ini telah berjaya membantu meningkatkan jumlah pelanggan ‘Sugu Pavithra’ dari 160,000 hingga 550,000 pada jam 4 petang hari ini.

Selain itu, berikutan laporan Bernama, banyak syarikat dan individu telah menghubunginya untuk menyumbang makanan, barang keperluan memasak dan peralatan elektrik. Namun, dia mengakui bahawa apa yang dia ada sudah lebih dari cukup.

Pavithra mengatakan kebanggaannya apabila menerima ucapan tahniah dari Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersama dengan beberapa hadiah yang telah mendorong pasangan itu untuk terus berkongsi video memasak mereka.

Berikutan wawancara dengan Bernama, puluhan panggilan telefon telah diterima setiap hari, termasuk dari sebuah syarikat radio di India yang ingin menemuramah Pavithra. Beliau mengaku kehidupan mereka telah berubah. Bahkan beliau perlu menyiapkan buku untuk mengatur pertemuan atau lawatan.

Pavithra mengatakan berikutan kenaikan panggilan masuk, pasangan itu tidak dapat memuat naik video mereka sekerap sebelumnya kerana mereka hanya memiliki satu telefon bimbit dan bimbang ia dapat menghentikan rakaman mereka.

Cerita viral ini jelas menunjukkan keharmonian masyarakat Malaysia, terutamanya orang Melayu yang menyambut baik saluran YouTube Sugu Pavithra. Jelas bahawa bahasa Melayu boleh menjadi pemangkin kepada integrasi nasional dalam mengukuhkan semangat bantu membantu dan kekitaan dalam kalangan masyarakat di Malaysia.