Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya
Pendapat

Bahaya Penjejakan Iklan

MAS
Kolumnis
Penjejakan iklan, Ad tracking
© Dimarik16 - Dreamstime.com

Pernahkah anda melayari internet secara kasual dan membaca perkongsian sahabat anda tentang percutian keluarga di luar negara di laman sosial? Jika anda sememangnya seorang yang gemar melancong, perkongsian seperti ini pastinya dinanti-nantikan sebagai panduan destinasi yang boleh dikunjungi pada masa hadapan. Teruja dengan pengalaman menarik berkenaan, anda mungkin cuba mencari maklumat tambahan dari beberapa laman web tentang lokasi percutian tersebut. Anda juga mungkin melakukan beberapa carian menggunakan pelayar atau menonton beberapa video YouTube tentang lokasi berkenaan.

Kemudian, dengan tidak semena-mena anda akan dapati iklan penerbangan murah dan diskaun penginapan ke lokasi tersebut terpapar di pelayar internet, Facebook dan YouTube anda! Ia seakan-akan magik, apabila iklan berkenaan seolah-olah dapat membaca fikiran dan rancangan anda terlebih dahulu. Namun, apa yang sebenarnya yang telah berlaku? Perkara yang berlaku ini dikenali sebagai penjejakan iklan (ad tracking). Walaupun ianya sangat kontroversi kerana melibatkan privasi seseorang, tidak dapat dinafikan ianya sangat efektif dalam menghasilkan pengiklanan unik kepada individu terbabit (personalised advertisement).

Walaupun ini jelas menunjukkan sebahagian daripada isu-isu etika yang tidak dapat dielakkan, kesannya adalah penghasilan pemasaran yang tepat kepada golongan sasar. Seterusnya, ia meyakinkan pengguna untuk klik dan seterusnya membeli produk berkenaan. Secara mudah, penjejakan iklan menggunakan alamat IP (internet protocol) peranti dan data dari pelayar anda yang dikenali sebagai kuki (cookie) untuk mendapatkan maklumat peribadi. Maklumat ini termasuk laman web yang anda kunjungi, sebarang pautan yang anda klik, iklan yang pernah anda lihat, gambar dan kumpulan di laman sosial yang anda gemari, kekerapan dan tempoh masa yang anda luangkan.

Teknologi algoritma yang pelbagai ini kemudiannya akan meramalkan kecenderungan anda dan memaparkan iklan yang mungkin anda sukai. Dua cara paling efektif dalam penjejakan iklan adalah penggunaan media sosial dan juga pelayar internet. Sebahagian besar pasaran dalam pengiklanan digital dikuasai oleh Facebook dan Google. Ini tidak menghairankan kerana kedua-dua syarikat gergasi ini memiliki sebegitu banyak aplikasi dengan jumlah pengguna yang tinggi seperti Facebook yang turut memiliki Instagram dan Whatsapp. Google pula memiliki aplikasi Google Search, Chrome, Gmail dan YouTube.

Ini tidak semestinya merupakan hal yang tidak baik. Malah, internet memberikan banyak manfaat dalam bentuk aplikasi e-mel, enjin carian, platform media sosial dan perkongsian video yang kebanyakannya kekal percuma kerana kos operasinya ditampung oleh pengiklan. Jika ia berfungsi secara optimum, hubungan ini boleh disifatkan sebagai situasi menang-menang kerana pengiklan berjaya menjual produk berkenaan dan dalam masa yang sama pengguna juga dapat membeli produk atau perkhidmatan yang sememangnya diperlukan.

Implikasi negatif etika teknologi sebegini mudah berlaku dan ia timbul apabila data yang terkumpul digunakan, disimpan dan dijual. Skandal terbesar setakat ini melibatkan Facebook dan firma penganalisis data politik, Cambridge Analytica yang  mengekstrak maklumat peribadi pengguna-pengguna Facebook tanpa kebenaran. Ini telah melibatkan kira-kira 50 juta akaun penggunanya. Cambridge Analytica telah mengeksploitasikan data tersebut untuk menjana profil psikografik tentang pengundi yang berkaitan secara langsung dengan kempen Donald Trump ketika pilihanraya presiden 2016.

Persoalannya, bagaimana seorang muslim yang berhati-hati dalam agama sepatutnya berurusan dengan teknologi sebegini? Jika anda mahu mengawal data peribadi dan aktiviti dalam talian daripada dijejak, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan peluang perkara ini daripada berlaku. Apa yang perlu diperbetulkan ialah bagaimana anda mengatur tetapan lanjutan dan tetapan keselamatan enjin carian yang anda gunakan. Tujuannya ialah untuk mematikan atau mengurangkan fungsi kuki atau kuki penjejak pada pelayar web terbabit. Oleh itu, anda boleh memilih tahap privasi yang anda mahukan mengikut kesesuaian penggunaan, sama ada rendah, sederhana atau tinggi.

Anda juga boleh melayari internet ‘secara rahsia’ dengan menukar mod pelayar web anda kepada mod penyamaran (incognito), di mana aktiviti internet anda tidak akan disimpan dalam peranti. Terkini, anda mempunyai pilihan untuk bertukar kepada enjin carian alternatif yang cenderung privasi, seperti DuckDuckGo atau Brave yang tidak menjejak dan memprofilkan akaun pengguna. Akhir sekali, untuk mengawal Facebook daripada memaparkan iklan yang disasarkan khusus kepada anda, sila ubah tetapan iklannya dengan memilih untuk tidak membenarkan sebarang jenis pengiklanan yang didapati di dalam Facebook. Anda mungkin akan tetap dapat melihat iklan produk atau servis tetapi ianya akan menjadi kurang atau tidak relevan.

Related articles
Pendapat Pendapat
MAS
Kolumnis

Konsisten. Cuba untuk mula tidur pada masa yang sama setiap malam dan bangun pada waktu yang sama setiap pagi. Termasuk ketika hujung minggu. Tubuh manusia gemarkan rutin dan akan mampu menjangkakannya jika kita memiliki dengan rutin tidur yang teratur. Sebagai peringatan cuba tetapkan penggera pada telefon untuk berbunyi 30 minit sebelum memulakan rutin bertenang (wind-down).

Teruskan Teruskan
Pendapat Pendapat
MAS
Kolumnis

Penyongsangan sangat berguna untuk mencabar kepercayaan kita. Ia memaksa kita untuk menimbangkan hujah-hujah yang bertentangan. Penyongsangan menghalang kita daripada terus membuat keputusan sejurus selepas kesimpulan awal. Ia adalah satu teknik untuk mengatasi kecenderungan yang berat sebelah (confirmation bias).

Teruskan Teruskan
Pendapat Pendapat
Adea Ghafar
Adea Agi
Kolumnis

Dalam pendekatan yang lebih besar, Islam hadir untuk memperbaiki kehidupan dan pengalaman manusia di dunia. Juga untuk meningkatkan keupayaan dan ketokohan seorang manusia dan masyarakatnya. Perkara yang paling senang difahami kebenarannya ialah kita perlu berada di titik tengah antara mencari dunia dan memilih akhirat. Persoalannya, apakah usaha yang perlu dibuat dalam titik kedudukan ini?

Teruskan Teruskan
Pendapat Pendapat
Adea Ghafar
Adea Agi
Kolumnis

Kemajmukan bangsa dan rampaian budaya telah memainkan peranan penting dalam kejayaan sesebuah negara. Ia digambarkan sebagai suatu persekitaran kawasan dengan masyarakat etnik campuran di mana wujud banyak amalan-amalan dan tradisi budaya. Ketiadaan unsur ini pula telah menghalang sesebuah negara mencapai tahap kemakmuran yang serupa. Integrasi masyarakat menjadi agenda penting dalam menyampaikan mesej perpaduan dan kedamaian kepada seluruh manusia. Bagi umat Islam, mesej ini telah diamalkan semenjak masa Nabi Muhammad (Selamat Sejahtera Kepada Baginda).

Teruskan Teruskan