Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Bahaya terhadap keluarga salah satu sebab Islam haramkan judi

Masyarakat 18 Jan 2021
Pendapat
Bahaya terhadap keluarga salah satu sebab Islam haramkan judi
Bahaya terhadap keluarga salah satu sebab Islam haramkan judi © Rawpixelimages | Dreamstime.com

Berjudi adalah salah satu perkara yang sangat dilarang dalam ajaran Islam. Ini kerana, pada amalan judi itu terdapat beberapa kemudaratan dan bahaya yang boleh menggugat kesejahteraan hidup manusia.

Apakah bahaya judi?

Maksud judi

Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, judi membawa maksud ‘sebarang permainan yang menggunakan wang dan lain-lain sebagai taruhan’.

Dalam kamus Arab, Mu’jam Al-Wasit, judi diterangkan sebagai sebarang permainan yang melibatkan pertaruhan daripada kedua-dua belah pihak yang memainkannya.

Secara umumnya, judi boleh difahami sebagai satu permainan atau aktiviti yang melibatkan taruhan wang atau lain-lain daripada pihak yang memainkannya.

Ia akan menyebabkan satu pihak mendapat kemenangan, manakala pihak yang lain akan mengalami kerugian.

Pengharaman judi dalam  Islam

Judi adalah salah satu perkara yang sangat jelas pengharamannya dalam Islam. Pengharamannya telah dinukilkan dalam surah Al-Maidah, ayat ke-90 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Dalam ayat tersebut, diterangkan bahawa amalan judi, meminum arak, menyembah berhala dan menenung nasib adalah antara perkara-perkara yang tidak elok.

Malah dikatakan bahawa, perbuatan tersebut bersamaan dengan amalan syaitan. Mengapa Islam mengharamkan judi?

Ini bahaya judi yang anda perlu tahu

Menurut portal MyHealth, jika seseorang itu berterusan berjudi, ia boleh menyebabkan ketagihan dan kemudaratan. Ketagihan berjudi ini dikatakan sama dengan ketagihan terhadap rokok, arak dan juga dadah.

Bagi golongan remaja khususnya, judi boleh membawa kepada ketagihan arak. Selain itu, judi juga boleh menggalakkan keinginan untuk membunuh diri jika kerap mengalami kerugian. Dalam institusi kekeluargaan, judi boleh menyebabkan beberapa kesan negatif seperti berikut:

  • Menyebabkan ahli keluarga bermusuh antara satu sama lain
  • Mengalami kerugian
  • Melalaikan manusia daripada menunaikan tanggungjawab mereka dalam keluarga
  • Potensi untuk menggadaikan isteri serta anak jika mengalami kekalahan

Selain itu, antara sebab judi diharamkan adalah kerana sifatnya yang mengambil harta orang lain dengan cara yang salah. Malah, judi boleh menyebabkan pertelingkahan dan permusuhan untuk jangka masa yang lama. Tidak mustahil, seseorang itu juga akan berdendam hanya kerana tidak dapat menerima kekalahannya.

Keburukan judi lebih buruk daripada riba’

Walaupun kedua-dua judi dan riba’ adalah aktiviti yang diharamkan disebabkan perolehan harta secara tidak sah, namun keburukan judi adalah lebih teruk berbanding riba’. Terdapat dua keburukan judi yang paling jelas.

  • Pertama, judi menyebabkan seseorang itu mengambil harta orang lain dengan cara yang haram
  • Kedua, judi menyebabkan seseorang menjadi lalai daripada mengingati Allah SWT sehingga menyebabkan permusuhan

Oleh sebab itu, Allah SWT mengharamkan judi lebih awal daripada pengharaman riba’. Sesungguhnya, judi adalah satu perkara yang jelas boleh menjejaskan kesejahteraan hidup seseorang.

Selain itu, judi juga boleh menyebabkan keretakan dalam keharmonian hidup bermasyarakat. Oleh sebab itu, Islam mengharamkan judi atas sebab mudaratnya yang banyak terhadap manusia.