Baju Kurung dan latar belakangnya

Budaya Abi Aasim 26-Mei-2020
Baju Kurung © Lim Seng Kui | Dreamstime.com

Baju Kurung merupakan pakaian tradisional bagi wanita Melayu. Baju kurung merupakan pakaian kebangsaan Malaysia. Secara amnya, baju kurung dipakai untuk ke majlis perkahwinan, acara rasmi dan juga majlis agama.

Baju kurung sesuai dipakai oleh semua golongan wanita, tidak mengira usia. Malah para pelajar sekolah wanita berketurunan Melayu diwajibkan untuk mengenakan baju kurung sebagai pakaian rasmi sekolah.

Ada pendapat yang mengatakan bahawa baju kurung ini berasal dari pakaian masyarakat Mesir yang bermaksud baju longgar. Pengertian kurung mempunyai persamaan dengan konsep pakaian menutup anggota tubuh. Ciri ini didapati menepati konsep cara Melayu selepas kedatangan Islam. Jadi sempena itulah ia dinamakan Baju Kurung.

Baju kurung yang dipakai oleh wanita Melayu pada zaman dahulu labuhnya hingga ke lutut. Kebiasannya mempunyai satu poket sama ada di kiri atau di kanan baju kurung tersebut. Baju kurung ini pula kemudiannya dipadankan dengan kain sutera ataupun kain batik.

Kain ini pula diikat dengan ikatan yang bernama Ombak Mengalun, iaitu dengan lipatan-lipatan yang letaknya di rusuk kanan atau kiri. Kepala kain sarung diletakkan di bahagian belakang pemakai apabila dipadankan dengan baju kurung.

Terdapat pelbagai jenis baju kurung seperti baju kurung Kedah, baju kurung Pahang, baju kurung Johor dan baju kurung Moden. Ciri-ciri asas baju kurung ini masih mengikuti ciri asal baju kurung tradisi cuma ianya telah disesuaikan mengikut peredaran zaman. Zaman kini pula lebih ramai wanita yang memilih untuk mengenakan baju kurung Moden.

Sesuai dengan namanya, baju kurung Moden telah diberi pelbagai sentuhan baru agar sesuai dengan perkembangan zaman. Antara ciri-ciri yang berlainan dengan baju kurung tradisional ialah potongannya, fabrik yang pelbagai dan hias tambah untuk mencantikkan lagi baju. Baju kurung moden direka supaya kelihatan lebih kemas dan menarik berbanding  baju kurung tradisional.

Baju kurung moden  tidak mempunyai jahitan pesak pada bahagian sisi baju. Namun ciri-ciri utama masih dipelihara. Sebagai contoh, pakaian ini masih berlengan panjang, longgar, labuh dan masih dipakai bersama kain sarung.

Walau di mana pun kita berada, tradisi dan budaya kita haruslah dipelihara. Ia adalah sebahagian dari warisan dan identiti budaya masyarakat kita.