Bangkitkan semangat dengan tahajud

Tahajud di bulan Ramadan © suppasit chookittikul | Dreamstime.com

Ketika orang lain sedang nyenyak tidur, menarik selimut kerana kedinginan pagi, anda mengumpul kekuatan diri untuk bangun mengerjakan tahajud atau solat malam.  Tatkala air menyapu ke wajah semasa berwuduk, sejuknya terasa hingga ke tulang sum-sum. Namun, anda gagahkan hati untuk mengadap Allah SWT, mengadu tentang kehidupan dan segala macam kebobrokannya.

Solat tahajud merupakan solat sunat yang utama setelah solat fardu yang dilakukan sepertiga malam.  Tahajud yang dilakukan secara rutin dan ikhlas dapat menghapus dosa, meningkatkan darjat, menghindarkan penyakit, meneguhkan iman, jiwa dan mental serta memperoleh ketenangan.

Orang yang bangun malam hatinya dibersihkan daripada sifat-sifat mazmumah dan dibukakan pintu nur dan hijab untuk memahami banyak perkara yang orang tidak nampak.  Begitu kasihnya Allah SWT kepada anda  sehingga  mengaitkan orang yang bangun malam sebagai golongan Ulul Albab.

Firman Allah SWT yang bermaksud:  “Wahai orang yang berselimut.  Bangunlah untuk solat malam kecuali sedikit sekali untuk tidur iaitu seperdua dari waktu malam itu atau kurang sedikit daripadanya atau lebihi dari seperdua itu.  Dan bacalah al-Quran dengan tartil dengan penuh perhatian, pengertian dan khusyuk.” (Surah Al Muzzammil, ayat 1-4)

Indahnya solat tahajud sekiranya anda dapat mengumpul segala kekuatan mengerjakannya.  Ramai orang yang berjaya dalam hidup mengamalkan solat malam kerana di dalamnya terhimpun pelbagai kebaikan.

Rasulullah SAW dan para sahabat tidak pernah meninggalkan solat tahajud.  Baginda bersabda:  “Kerjakanlah solat malam sebab itu adalah kebiasaan orang soleh sebelum kamu, juga suatu jalan untuk mendekatkan diri kepada Tuhanmu, juga sebagai penebus segala amalan buruk, pencegah dari perbuatan dosa dan dapat menghalangi penyakit dari badan.” (hadis riwayat Tirmidzi dan Ahmad)

Solat tahajud jika dilaksana secara berterusan akan membantu meningkatkan daya positif kerana di dalamnya ada banyak unsur kebaikan.  Saidina Umar al-Khattab r.a. menyatakan bahawa golongan yang mengerjakan solat tahajud dengan khusyuk, akan dianugerahi Allah SWT dengan sembilan kebaikan. Lima kebaikan akan diperolehi terus di dunia dan empat lagi ketika di akhirat kelak.

Lima kurniaan di dunia yang bakal diperolehi bagi anda yang solat tahajud ialah dijauhi segala penyakit, dikurniakan kesan takwa pada wajah, dikasihi oleh semua manusia, percakapan dan perbuatan anda mengandungi hikmah (kebijaksanaan) dan dikurniakan kekuatan dan rezeki (halal dan diberkati).

Solat tahajud juga telah dijanjikan kurniaan yang baik di akhirat.  Antaranya ialah wajah anda  berseri-seri apabila dibangkitkan dari kubur, dipermudahkan hisab, melalui sirat al-Mustaqim seperti kilat dan mendapat surat amalan pada hari akhirat dengan tangan kanan.

“Dan pada sebahagian malam hari bersolat Tahajudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu; Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.” (Surah Isra’, ayat 79)

Rasulullah SAW telah bersabda: “Amalan yang disukai oleh Allah, adalah yang terus menerus (istiqamah) walaupun sedikit.”  (HR Bukhari dan Muslim, dari Aisyah)

Ramadan adalah kesempatan terbaik untuk melakukan solat tahajud. Doa anda ketika bertahajud akan sentiasa didengar oleh Allah SWT kerana ia adalah antara waktu yang paling mustajab untuk berdoa.  Semoga anda terus istiqamah melakukannya.