Bank Negara Malaysia (BNM) tawar lima lesen bank digital

Uncategorized MAS 28-Dis-2019
© Tktktk - Dreamstime.com

BNM berhasrat mengeluarkan sehingga lima lesen untuk penubuhan bank digital. Tawaran dibuka kepada pemohon berkelayakan bagi menjalankan perkhidmatan perbankan konvensional atau Islamik di Malaysia. Hari ini, BNM telah menerbitkan Draf Pendedahan mengenai Rangka Kerja Pelesenan untuk Bank Digital. Menurut BNM, kerangka tersebut merupakan sebahagian daripada langkah-langkah yang diambil untuk membolehkan penerapan teknologi inovatif dalam sektor kewangan.

Draf pendedahan itu menggariskan rangka kerja yang dicadangkan untuk pelesenan bank digital bagi menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan. Ia berperanan untuk menangani jurang pasaran dalam segmen yang kurang atau tidak mendapat perhatian. Bank digital dijangka mampu menawarkan akses bermakna dan menggalakkan penggunaan penyelesaian kewangan yang sesuai dan berpatutan kepada pengguna.

BNM menggunakan pendekatan seimbang untuk membolehkan kewujudan bank digital dengan proposisi nilai yang hebat. Dalam masa yang sama, integriti dan kestabilan sistem kewangan serta kepentingan pendeposit turut terpelihara. Ini memandangkan bank digital terbabit tidak pernah beroperasi dalam kitaran penuh kewangan dan ekonomi.

Untuk mencapai hasrat ini, ambang aset tidak melebihi RM2 bilion akan digunakan untuk operasi tiga hingga lima tahun pertama. Perkara ini berfungsi sebagai fasa asas bagi pemegang lesen membuktikan operasi yang berdaya maju dan untuk BNM memantau prestasi dan risiko.

BNM menegaskan bank digital perlu mematuhi keperluan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 atau Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. Ini termasuk piawaian mengenai kehematan, perilaku perniagaan dan perlindungan pengguna, serta anti-pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.

Sepanjang fasa asas, bank digital akan tertakluk kepada keperluan kawal selia yang lebih mudah. Ini termasuk kecukupan modal, kecairan, ujian tekanan dan keperluan penyingkapan awam. Bank digital dikehendaki untuk mengekalkan dana modal minimum tidak terjejas oleh kerugian sebanyak RM100 juta semasa fasa asas dan RM300 juta selepas itu.