Bantu anak belajar semasa pandemik!

Pendidikan Hannan
Hannan
Bantu anak belajar semasa pandemik!
Bantu anak belajar semasa pandemik! © Sorrapong Apidech | Dreamstime.com

Sejak wabak COVID-19 melanda, ibu bapa pasti tidak asing lagi dengan istilah pembelajaran dalam talian. Disebabkan sekolah tidak dibuka, anak-anak tidak dapat melakukan proses pengajaran dan pembelajaran secara normal.

Namun, persekolahan perlu diteruskan. Oleh sebab itu, guru-guru sekolah bertungkus lumus menyediakan bahan untuk mengadakan pembelajaran di dalam talian. Walaupun sebuah pandemik sedang mencengkam, murid masih perlu belajar untuk mengelakkan sebarang isu keciciran pada masa hadapan.

Bantu anak belajar semasa pandemik

Sesi pembelajaran yang dilakukan secara dalam talian amat berbeza dengan proses pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka. Kadangkala, anak sukar untuk fokus pada satu masa yang lama jika cikgu mengajar melalui skrin.

Malah, ramai juga ibu bapa yang menyatakan kerisauan masing-masing mengenai pembelajaran anak-anak. Bukan itu sahaja, kadangkala masalah kewangan juga menjadi kekangan yang menyebabkan ramai pelajar tidak mampu untuk meneruskan pembelajaran secara dalam talian.

Sebagai ibu bapa, apa yang anda boleh lakukan untuk membantu anak yang sedang belajar secara online? Sebenarnya, ada banyak cara yang boleh ibu bapa praktikkan untuk membantu anak kekal fokus dan bersemangat ketika belajar.

1. Pelan sebuah rutin bersama anak

Jika anak perlu belajar secara online, cuba tubuhkan satu rutin harian bersesuaian dengan umur anak. Ambil tahu jadual kelas anak dan cuba biasakan diri mereka untuk bangun awal, sarapan dan belajar pada masa yang sama setiap hari.

Walau bagaimanapun, disebabkan sesi pembelajaran dilakukan secara dalam talian, anak anda mungkin perlukan sedikit kelonggaran atau fleksibiliti.

Jika anak anda nampak penat selepas mengikuti pembelajaran secara dalam talian, biarkan mereka berehat sebentar. Selain itu, jangan lupa, anak bukannya robot! Pastikan mereka ada masa untuk bermain setiap hari.

2. Bersikap terbuka dengan anak

Murid sendiri tidak terlepas dengan perasaan tertekan dan stres ketika melakukan pembelajaran secara online. Kadangkala, mereka rasa kecewa kerana tidak faham apa yang disampaikan oleh guru ketika mengajar.

Sebagai ibu bapa yang baik, jadilah seorang pendengar yang setia. Jangan sesekali abaikan perasaan anak anda. Yakinkan mereka bahawa andalah orang yang terbaik untuk mereka mengadu dan meluahkan perasaan.

3. Ambil masa ketika melakukan pembelajaran secara dalam talian

Bukan mudah untuk anak-anak menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran dalam talian. Malah, ramai yang mengadu bahawa masa yang dihabiskan untuk belajar secara online lebih daripada masa yang mereka peruntukkan di sekolah.

Sebagai ibu bapa yang prihatin, cuba bahagikan masa dengan cakna. Jangan biarkan anak anda tenggelam dengan tugasan sekolah hingga tidak ada masa untuk melakukan aktiviti lain.

4. Sediakan tempat belajar yang kondusif

Tidak dinafikan, tempat belajar juga memainkan peranan yang penting untuk anak kekal fokus semasa sesi pembelajaran. Pastikan anak mempunyai meja dan kerusi yang selesa untuk belajar.

Selain itu, periksa juga sambungan internet di kawasan anak belajar. Dengan cara ini, anak dapat mengikuti kelas dengan baik tanpa sebarang halangan.

5. Pembelajaran dalam talian perlu kerjasama ibu bapa dan guru

Sebenarnya, belajar di rumah juga boleh menjadi efisien, sama seperti belajar di sekolah. Walau bagaimanapun, disebabkan sesi pembelajaran dilakukan secara dalam talian, guru mungkin perlukan kerjasama ibu bapa untuk membantu anak-anak.

Jangan malu untuk kekal berhubung dengan sekolah dan guru-guru yang mengajar anak anda. Malah, dengan adanya medium komunikasi seperti WhatsApp, Telegram dan Google Classroom, ibu bapa kini lebih mudah untuk berhubung dengan tenaga kerja di sekolah.