Batu Bersurat Terengganu, sumber sejarah terawal Melayu Islam

Asia Chan Abdullah
Chan Abdullah
Batu Bersurat Terengganu
Batu Bersurat Terengganu © wonderfulmalaysia.com

Prasasti atau batu bersurat yang dianggarkan telah berusia lebih kurang 700 tahun; Batu Bersurat Terengganu, merupakan sumber sejarah terawal Melayu Islam. Ia adalah prasasti yang mempunyai ukiran yang paling tua dan tulisan Jawi pertama ditemui di Malaysia.

Batu bersurat ini membuktikan Islam telah sampai ke Terengganu sebelum 1326 atau 1386. Prasasti ini ditemui separuh tenggelam selepas banjir surut di tebing Sungai Tersat (Sungai Tara), Kampung Buluh di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada tahun 1887.

Batu Bersurat Terengganu, sumber sejarah terawal Melayu Islam

Pastinya, batu bersurat di Terengganu ini menjadi salah satu tarikan pelancong yang berkunjung ke negeri Pantai Timur ini. Batu ini bukan sekadar catatan tulisan, tetapi ianya mengandungi pelbagai kisah.

Jika diteliti dari aspek sistem tulisan Jawi yang dipahat pada permukaan batu itu, secara umumnya ia mengandungi tradisi orang Melayu. Ini berikutan sudah berlaku penghilangan baris dan wujudnya huruf untuk disesuaikan dengan percakapan dan gaya bahasa orang Melayu.

Perkembangan tulisan Jawi itu membuktikan masyarakat Terengganu pada masa itu sudah menguasai sistem tulisan berasaskan huruf Arab. Ia adalah seperti dalam al-Quran dan dibuat penyesuaian sebagai medium perantaraan untuk menyampaikan ajaran Islam ketika itu.

Menariknya, Prasasti Terengganu mempunyai istilah Arab, iaitu ‘Sharatan’. Ia merujuk kepada dua bintang dalam buruj Aries atau Ram yang membuktikan masyarakat pada masa itu sudah mempunyai pengetahuan dan menguasai ilmu falak ,seperti pencapaian awal dalam sejarah dan tamadun Islam terdahulu.

Bukti peneguhan dan pelaksanaan syariat Islam

Mungkin juga penemuan ini membuktikan kehebatan kaum Melayu sebagai pelayar yang hebat suatu masa dahulu. Antara ciri penting lain yang mengesahkan pengaruh terbesar Islam ialah isi kandungan yang mengandungi bukti peneguhan dan pelaksanaan syariat Islam.

Isi kandungannya menerangkan hukum fikah seperti jenayah, muamalah dan munakahat (perkahwinan). Kandungan itu jelas menunjukkan masyarakat Terengganu pada masa itu sudah lama beragama Islam dan mempunyai pengetahuan agama Islam dengan agak mendalam.

Batu Bersurat Terengganu ialah sumber sejarah Islam terawal yang membuktikan daerah Kuala Berang telah menerima Islam sebagai agama rasmi. Kewujudan Prasasti Terengganu adalah bukti wujudnya asas peradaban Islam di Terengganu sejak dahulu lagi.

Bukti ini juga mencabar teori bahawa Terengganu dan Melayu dulu adalah berasaskan konsep India Raya (Greater India) yang diketengahkan oleh pihak orientalis barat.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.