Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

Bawang murah jika diimport, penanamannya tidak menjimatkan

Makanan Adea Ghafar 30-Jan-2020
Bawang Merah
Bawang Merah © Tirta Ajie Irawan | Dreamstime.com

Bawang adalah antara keperluan pengguna yang diimport dan kebanyakan suri rumah memilih bawang yang diimport dari India, walaupun Malaysia juga mengimport bawang dari Belanda, Pakistan dan China. Apabila terdapat kekurangan bekalan dari India yang menjejaskan eksport bawang termasuk ke Malaysia, harga pastinya akan meningkat seperti pada akhir tahun lalu. Harga bawang dilaporkan mencapai RM24 sekilogram di beberapa tempat.

Persoalannya ialah mengapa Malaysia tidak menanam bawang untuk memenuhi kadar sara diri (SSL) kerana Malaysia mempunyai banyak kawasan pertanian dan tanah yang subur? Menurut pihak berkuasa, ini adalah kerana ia tidak menjimatkan para petani yang menanam bawang. Harga juga akan jadi lebih tinggi daripada yang diimport, selain faktor cuaca yang tidak sesuai dengan penanaman bawang.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Mohd Nasir Warris menjelaskan, kos mengimport bawang dari India jauh lebih rendah berbanding dengan kos menghasilkan bawang tempatan. Jika bawang ditanam di Malaysia, margin keuntungan petani tempatan adalah sangat kecil dan tidak memberi manfaat kepada para petani.

Kos bawang dari India lebih murah kerana beberapa faktor. Antaranya, tanaman dibuat secara manual oleh ramai pekerja, dan ini mudah dilakukan di India berbanding di Malaysia yang terhad tenaga kerjanya. Melalui projek perintis dengan kerjasama syarikat dari India, didapati kos pengeluarannya juga agak tinggi. Tanaman ini juga tidak menjadi pilihan para petani kerana pulangan yang kurang menguntungkan berbanding tanaman lain.

Cuaca juga memainkan peranan utama dalam penanaman bawang yang sesuai dalam iklim sub-tropika lembap, dan tidak sesuai dengan iklim Khatulistiwa Malaysia yang lembap dengan tanaman mudah mendapat penyakit bawaan kulat.

Namun, Mohd Nasir menambah, penanaman bawang boleh dilakukan di negara ini dan patut dikaji semula dengan melihat kepada kemungkinan menggunakan teknologi yang boleh meningkatkan pengeluaran dan mengurangkan kos. Ini memerlukan kajian terperinci sebelum penanaman bawang boleh diusahakan di Malaysia.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!