Beard Brothers BBQ Hidang Daging Barbeku Yang Dimasak 14 Jam

Bayangkan anda sedang menikmati sepinggan hidangan daging barbeku yang telah mengambil masa selama 14 jam untuk dimasak empuk.

Bukan hidangan barbeku biasa-biasa, sebaliknya barbeku halal dan autentik ala Texas yang digabungkan dengan elemen citarasa tempatan.

Lebih unik, daging barbeku itu dimasak menggunakan kayu getah dan tidak langsung menggunakan dapur gas bagi menghasilkan rasa tempatan dan keenakan sebenar daging.

Semua itu tidak mustahil kerana anda boleh menikmati sepinggan daging barbeku seumpama itu di Beard Brothers BBQ yang terletak di Tropicana Avenue, Petaling Jaya.

Diasaskan dan dimiliki oleh seorang cef, Nazri Jameson bersama adiknya, penubuhan restoran daging barbeku yang popular itu bermula dari bawah dan tidak mudah untuk mencapai kedudukannya pada hari ini.

 

“Sebelum restoran berkonsep penuh ini dibuka kira-kira dua tahun setengah yang lalu, perniagaan ini dijalankan secara konsep warung di Keramat, dan sebelum itu saya membuat penghantaran dari rumah ke rumah.

“Apabila semakin ramai orang merasai daging barbeku kami, berita itu mula tersebar dan semakin ramai yang datang ke warung tersebut untuk mencuba sendiri menu yang kami tawarkan.

“Namun bagi saya, saya ingin menghidangkan daging barbeku yang mempunyai rasa yang benar-benar enak, perapan yang sempurna dan daging yang empuk yang akan membuatkan pelanggan berasa gembira apabila memakannya,” ujar Nazri menceritakan mengenai penubuhan Beard Brothers BBQ.

 

Disebabkan itu katanya, sebanyak 160 kilogram (kg) daging pernah terbazir begitu sahaja pada permulaan perniagaan kerana rasa dan teknik memasaknya yang tidak menepati piawaian.

“Saya mengambil masa selama lima ke enam bulan untuk mencari resipi perapan yang tepat bagi daging kami sehingga akhirnya saya berjaya menemui perapan yang sempurna,” katanya.

Tambah Nazri, antara cabaran awal dalam membesarkan perniagaan tersebut adalah untuk memastikan hidangan barbeku ala Texas boleh diterima baik oleh masyarakat Malaysia.

“Hidangan seperti ini bukanlah hidangan kebiasaan masyarakat Malaysia meskipun Texas barbeku ini amat popular di negara barat dan sudah lama ia menjadi trend.

“Disebabkan itu, saya memilih untuk memasukkan unsur-unsur tempatan ke dalam hidangan ini, antaranya dengan memasak menggunakan kayu getah dan langsung tidak menggunakan dapur gas.

“Hasilnya, aroma dari kayu getah itu berjaya menghasilkan satu rasa yang enak dan menyelerakan, sesuai dengan selera masyarakat tempatan,” ceritanya yang mendapatkan bekalan kayu getah dari Kelantan dan Kuala Selangor.

Setiap hari, sebanyak lebih daripada 100kg daging dimasak menggunakan kayu getah dalam proses yang memakan masa selama 14 jam bermula dari puku 8 malam sehingga ke keesokan harinya.

Sebaik sahaja restoran mula beroperasi pada pukul 12 tengah hari, para pekerjanya hanya perlu memotong daging tersebut untuk dihidangkan kepada pelanggan mengikut pesanan.

“Konsep Beard Brothers BBQ adalah untuk memudahkan pelanggan untuk menikmati daging barbeku ala Texas dengan pantas dan menyelerakan,” katanya yang mendapatkan bekalan daging dari Australia.

Sementara itu, menyedari permintaan orang ramai yang semakin meningkat dan selera yang pelbagai, baru-baru ini, sebuah lagi restoran Beard Brothers BBQ dibuka di sebelah restoran sedia ada, namun dalam konsep yang lebih ringkas.

“Restoran baharu ini menghidangkan sandwich dan ramen yang diolah dengan citarasa tempatan.

“Misalnya, kami menggunakan sambal udang yang boleh ditambah ke dalam hidangan ramen jika pelanggan mahukan ramen yang pedas tapi dengan citarasa tempatan,” ujarnya yang mengambil masa selama 10 jam untuk menyediakan kuah ramen.

Merancang untuk membuka cawangan seterusnya di Johor Bahru pada tahun depan, Nazri berkata, ia adalah kerana terdapat banyak permintaan daripada pelanggan yang datang dari Johor dan Singapura.

“Ramai pelanggan yang datang dari jauh semata-mata untuk menikmati daging barbeku kami.

“Jadi, kami akan memperluaskan lagi cawangan Beard Brothers BBQ untuk memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai Beard Brothers BBQ boleh didapati di laman web https://beardbrothers.com.my/ atau Facebook: Beard Brothers’ BBQ

 

 

Foto: Prospr Communications & Nor Syariza

Video: Rahim Rahman