Beberapa amalan sunah Ramadan

Islam 18 Mei 2020 Abi Aasim
Perbanyakkan doa di bulan Ramadan © Elmar84 | Dreamstime.com

Bulan Ramadan sudah melangkah hampir ke penghujungnya. Namun, masih belum terlambat untuk memperbanyakkan amalan kebaikan berupa beberapa amalan sunah Ramadan di bulan yang penuh kemuliaan ini.

Rasulullah SAW bersabda:

“Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya sehingga tujuh ratus kali ganda,” Allah berfirman; ‘Melainkan berpuasa. Kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.’ Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan. Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) adalah lebih wangi daripada bau kesturi di sisi Allah.”

(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Beberapa amalan sunah Ramadan

Namun, beramal tanpa ilmu itu juga tiada kebaikannya. Oleh itu marilah kita amalkan sunah Rasulullah SAW ketika berada di bulan Ramadan.

Bersahur

Amalan bersahur bukan sahaja mampu memberikan tenaga, tetapi adalah amalan yang dituntut dalam Islam. Rasulullah SAW bersabda:

“Bersahurlah kalian, kerana pada sahur itu ada keberkatan.”

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Menyegerakan berbuka puasa

Segerakan berbuka puasa setelah masuk waktu berbuka. Sebaik-baiknya berbukalah dengan beberapa biji kurma terlebih dahulu.

Rasulullah SAW bersabda:

“Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka.”

(HR Al-Bukhari dan Muslim)

Bersedekah dan memberi makan orang yang berpuasa

Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa yang memberikan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu.”

(HR Nasa’i dan At-Tirmidzi)

Memperbanyakkan doa

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika dia berbuka, doa yang tidak akan ditolak.”

(HR Ibn Majah)

Anda boleh berdoa dengan doa ini: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau Mengasihi untuk Mengampun, Maka ampunilah diriku.”

Menahan kemarahan

Rasulullah SAW bersabda:

“Puasa adalah perisai. Maka janganlah dia berkata-kata kotor dan berbuat bodoh. Apabila ada orang lain yang memerangi atau mencacinya, hendaklah dia katakan, ‘Aku sedang puasa’ (dua kali).”

(HR Al-Bukhari)

Bersabarlah kerana sesungguhnya Allah SWT sentiasa bersama-sama dengan orang yang bersabar.

Saling ingat-mengingatkan kepada perkara kebaikan

Puasa bukan hanya menahan lapar dan dahaga semata-mata. Sebaliknya kita perlu mengawal nafsu daripada melakukan perkara-perkara yang tidak baik serta mencacatkan puasa. Pada zaman media sosial ini, ianya suatu cabaran yang amat sukar untuk dihadapi.

Menghidupkan malam hari bulan Ramadan

Dalam bulan Ramadan inilah Allah SWT menyembunyikan malam Lailatul Qadar, iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Marilah kita meningkatkan amalan di malam hari Ramadan terutamanya di sepuluh malam yang terakhir.

Marilah kita hidupkan sunah Rasulullah SAW di bulan Ramadan ini. Walaupun nampak kecil, ianya pasti akan mendapat balasan kebaikan daripada Allah SWT.