Beberapa doa terbaik yang boleh dibaca sebagai rutin harian

Doa Aimi Azhary
Aimy Azhary
Beberapa doa terbaik yang boleh dibaca sebagai rutin harian
Beberapa doa terbaik yang boleh dibaca sebagai rutin harian © Odua | Dreamstime.com

Masalah dan tribulasi pasti akan ditempuhi oleh setiap manusia, tidak kira anutan dan agama. Namun, setiap mukmin mempunyai status yang berbeza.

Artikel ini akan berkongsi beberapa doa terbaik daripada Al-Quran dan Al-Sunnah yang harus dibaca oleh setiap Muslim.

Doa sebagai rutin harian

Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Sungguh menakjubkan urusan orang beriman, semua urusannya adalah baik. Apabila mendapat nikmat kesenangan, dia bersyukur, maka baiklah baginya. Apabila ditimpa kesusahan pula, dia bersabar maka baik jugalah baginya. Dan sifat tersebut tidak ada melainkan bagi orang yang beriman.”

Dalam apa-apa keadaan sekalipun, seorang muslim perlulah yakin dan percaya dengan sepenuh hati, bahawa setiap perkara yang berlaku merupakan ketentuan Allah Taala. Oleh itu, hanya Allah sahaja dapat menyelematkan kita dari malapetaka, dan Dia sahaja yang memiliki keamanan dan keselamatan.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hadid, ayat 22 – 23:

“Tidak ada sesuatu kesusahan yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. Supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.”

Oleh itu, dalam apa-apa situasi sekalipun, umat Islam perlulah :

  1. Mengukuhkan keimanan kepada takdir Allah Taala
  2. Tawakal iaitu meletakkan kebergantungan kepada Allah SWT
  3. Kembali kepada Allah Taala dengan taubat dan penyesalan
  4. Fokus kepada doa yang terbaik berpandukan Quran dan Sunnah

Beberapa doa terbaik yang boleh dibaca sebagai rutin harian

Doa memohon kesembuhan, bebas dari tekanan, dan pelepasan daripada azab kubur

،اللَّهمَّ عافِني في بدَني اللَّهمَّ عافِني في سمعي اللَّهمَّ عافِني في بصري لا إلهَ إلَّا أنت

اللَّهمَّ إنِّي أعوذُ بِكَ منَ الكُفْرِ والفقرِ اللَّهمَّ إنِّي أعوذُ بكَ من عذابِ القبرِ لا إلهَ إلَّا أنت

“Ya Allah, sihatkanlah badanku, Ya Allah sihatkanlah pendengaranku, Ya Allah sihatkanlah penglihatanku. Tiada tuhan melainkan Engkau. Ya Allah, sesungguhnya Aku memohon perlindungan-Mu daripada kekufuran dan kemiskinan. Ya Allah, aku memohon perlindungan-Mu daripada azab kubur. Tidak ada tuhan melainkan Engkau.”

Doa terbaik untuk memohon keselamatan dari bahaya

لا إِلَٰهَ إِلَّآ أَنتَ سُبۡحَٰنَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ ٱلظَّٰلِمِينَ

“Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau. Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.”

(Quran surah al-Anbiya, 21:87)

Doa memohon perlindungan dari segala jenis kejahatan

Nabi Muhammad SAW bersabda:

بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ،

“Dengan nama Allah yang tidak dimudharatkan sesuatu pun dengan nama-Nya sama ada di bumi atau di langit. Dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Nescaya, tiada bahaya akan menimpanya sehingga waktu pagi. Dan barangsiapa yang membaca doa tersebut tiga kali pada waktu pagi, tidak ada bahaya akan menimpanya sehingga waktu petang.”

(Hadis riwayat Tirmidzi dan Abu Daud)

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

“Aku memohon perlindungan dengan kalimah-kalimah-Mu yang sempurna daripada sebarang kejahatan yang diciptakan.”

Doa untuk menghilangkan masalah

حَسْبِيَ اللَّهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ

“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakal, dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arsy yang agung.”

(Quran surah at-Taubah, 9:129)

يَا حَيُّ يَا قَيُّوْمُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ، أَصْلِحْ لِيْ شَأْنِيْ كُلَّهُ وَلاَ تَكِلْنِيْ إِلَى نَفْسِيْ طَرْفَةَ عَيْنٍ

“Ya Allah, Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri sendiri (tidak memerlukan kepada sesuatu) dengan rahmat-Mu aku meminta pertolongan, perbaikilah segala keadaan dan urusanku serta janganlah engkau biarkan aku walaupun hanya sebentar (tanpa mendapat pertolongan dari-Mu).”

Doa untuk memohon keselamatan

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ

“Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu keampunan dan keselamatan di dunia dan akhirat.”

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِينِي وَدُنْيَايَ وَأَهْلِي وَمَالِي.

“Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) pada agamaku, dunia, keluarga dan hartaku.”

Doa ketika dipenjara atau dizalimi

لا حول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم

“Tidak ada daya dan kekuatan melainkan dengan (bantuan) Allah yang Tinggi lagi Maha Agung.”

Doa terbaik untuk memohon keampunan

Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Barangsiapa yang membaca doa ini dengan penuh keyakinan lalu mati dengan membacanya pada  waktu siang atau malam, maka dia akan menjadi penghuni syurga.

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ.

Yang bermaksud: Ya Allah, Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Engkau telah menciptakanku dan aku adalah hamba-Mu. Aku berpegang dengan perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku akui nikmat-Mu kepadaku, dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah daku. Sebab tidak ada yang dapat mengampuni dosa selain-Mu.”

(Hadis riwayat Al-Bukhari)