Beberapa jenis laksa di Malaysia

Makanan Chan Abdullah 29-Ogo-2020
dreamstime_s_85733616
Laksa Sarawak © Tan Kian Yong | Dreamstime.com

Bagi penggemar laksa, pastinya pelbagai jenis rasa ingin dicuba. Tahukah anda, di Malaysia terdapat pelbagai jenis laksa yang sangat sedap dan dimasak dengan cara yang berbeza. Setiap laksa yang dimasak dan dihidangkan mempunyai keunikan yang tersendiri.

Gabungan rasa yang berbeza pada setiap laksa menambat selera penggemar-penggemar laksa. Mari ketahui beberapa jenis laksa yang ada di Malaysia.

Laksa Penang

Laksa ini berasal daripada salah sebuah negeri di utara iaitu Pulau Pinang. Laksa ini biasanya menggunakan ikan kembung yang akan direbus terlebih dahulu dan dikisar isi ikannya. Meskipun  kuahnya tidak terlalu pekat, namun rasanya padat dengan isi ikan. Hidangan laksa Penang akan dilengkapi dengan timun, bawang, cili padi, nenas, daun salad dan juga limau. Tidak hairan jika ramai penduduk Malaysia di negeri lain sanggup berkunjung ke Pulau Pinang semata-mata ingin menikmati rasa laksa Penang yang asli.

Laksa Johor

Keunikan yang ada pada laksa Johor adalah pada kuahnya yang menggunakan santan yang dimakan bersama sambal belacan. Laksanya sendiri menggunakan spaghetti. Ikan tenggiri biasanya digunakan untuk  membuat kuah laksa Johor. Rasa ikan tenggiri yang manis dan berlemak, menjadikan rasa kuah laksa Johor lebih sedap dimakan. Seterusnya gabungan spaghetti dan kuah laksa johor dihidangkan bersama hirisan timun, kacang panjang, limau, taugeh, daun kesum, bunga kantan, bawang dan sambal belacan. Memang unik sekali rasanya.

Laksa Perlis

Meskipun hidangannya nampak ringkas, namun rasanya memang cukup memukau. Kuah laksa Perlis sedikit pekat berbanding dengan laksa Penang. Ia seakan sama dengan laksa Penang tetapi berbeza dengan hidangan yang digunakan seperti ikan keli dan ikan belut. Laksa Perlis dihidangkan bersama hirisan timun, bawang dan telur.

Laksa Sarawak

Jika anda berkunjung ke Bumi Kenyalang, jangan terlepas peluang menikmati laksa Sarawak. Laksa Sarawak ini  adalah salah satu  juadah yang wajib dinikmati jik aanda berkunjung ke sana. Istimewanya laksa Sarawak ini ianya dimakan bersama dengan sambal udang kering.

Laksa Sarawak mempunyai sup asas di mana ia mengandungi sambal belacan hingga memberikannya warna seakan kemerahan yang akan dicampur dengan santan, asam jawa, bawang putih, lengkuas, dan serai. Sebagai pelengkap rasa, laksa Sarawak dihidangkan dengan isi ayam rebus, udang dan hirisan telur dadar. Walaupun namanya laksa, tetapi ianya menggunakan bihun.

Selamat mencuba laksa-laksa yang ada di Malaysia.