Beberapa masjid terbesar di Malaysia

Islam 20 Jun 2020 Abi Aasim
Masjid Besi di Putrajaya © Prasit Rodphan | Dreamstime.com

Malaysia mempunyai banyak masjid dengan rekacipta yang unik dan tersendiri. Keunikan senibina dan rekacipta masjid-masjid ini menjadi tarikan kaum Muslim untuk beribadah di sana. Malah ia juga turut menjadi tumpuan pelancong di dalam dan luar negara.

Selain keunikan senibina masjid ini, tahukah anda bahawa ada antara masjid di Malaysia boleh memuatkan sehingga berpuluh-puluh ribu jemaah pada satu masa? Jika ingin tahu, di sini dikongsikan beberapa buah masjid di Malaysia yang boleh memuatkan sehingga puluhan ribu jemaah pada satu masa.

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. Rumah ibadah yang juga dikenali sebagai Masjid Shah Alam ini masih lagi mengekalkan statusnya sebagai masjid terbesar di Malaysia. Masjid ini mampu memuatkan sehingga 24,000 jemaah pada satu masa. Ia juga mempunyai beberapa ciri unik yang lain seperti masjid yang mempunyai kubah terbesar di dunia serta dijangka bebas penyelenggaraan untuk 200 tahun.

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin

Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya ini turut dikenali sebagai Masjid Besi kerana strukturnya yang dibina menggunakan besi sebagai bahan utama. Ia terletak di Precint 3, Putrajaya berhadapan dengan Istana Kehakiman. Kapasitinya mampu menempatkan seramai 17,000 jemaah pada masa yang sama.

Masjid Wilayah

Masjid Wilayah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Senibina Masjid Wilayah ini terlahir melalui inspirasi pembinaan Masjid Blue Mosque di Turki. Ruangan solatnya boleh memuatkan seramai 17,000 orang.

Masjid Putra

Masjid Putra, Putrajaya. Beruntung orang Putrajaya nampaknya kerana ada dua masjid di Putrajaya dengan kapasiti yang besar. Sesuai dengan ramainya penduduk di Putrajaya dan persekitarannya yang merupakan pusat pentadbiran di Malaysia. Ia mempunyai kapasiti sebanyak 15,000 jemaah.

Masjid Negara

Masjid Negara, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Inilah masjid yang merupakan destinasi wajib rombongan sekolah ketika datang melawat ibu negara. Masjid ini masih lagi menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara kerana keunikan senibinanya dan juga sejarah masjid ini sendiri. Ia mampu menempatkan sehingga 15,000 jemaah pada satu masa.

Menakjubkan bukan? Ada tak antara masjid-masjid ini yang sudah anda lawati? Sempena Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ni, ayuh kita penuhkan kembali rumah-rumah Allah SWT.