Beberapa masjid universiti tercantik di Malaysia

Singgah Abi Aasim 29-Mei-2020
Masjid Sultan Ismail, UTM © facebook.com/pusatislam.utm

Laungan azan bergema dan masjid-masjid tertentu di Malaysia kini telah mula dibuka bagi kegunaan solat berjemaah. Walaupun begitu, terdapat garis panduan yang perlu diikuti. Malah bilangan jemaah pada sesuatu masa juga dihadkan mengikut tetapan Majlis Agama Islam setiap negeri.

Hampir berbulan lamanya tidak dapat menjejakkan kaki ke masjid untuk beribadat, sedikit pilu terasa. Di kesempatan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, disenaraikan  beberapa buah masjid tercantik di dalam kawasan Institusi Pengajian Tinggi atau universiti untuk dikunjungi setelah PKP ditamatkan.

Masjid Al-Azhar, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Masjid ini  terletak di Bandar Seri Putra. Ia merupakan masjid yang telah dikategorikan sebagai ‘Masjid Institusi’ kerana ianya terletak di dalam sebuah Institusi Pengajian Tinggi Islam milik sepenuhnya Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Masjid ini telah diasaskan oleh Allahyarham Dr. Hj Zainuddin Bin Jaafar dan dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj. Dikatakan masjid ini boleh memuatkan 3000 orang jemaah pada satu masa yang sama.

Masjid Sultan Ismail, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Masjid ini terletak di bandar Skudai, Johor, Masjid ini siap sepenuhnya pada tahun 1990. Kos pembinaannya dianggarkan hampir mencecah RM19 juta. Bangunan masjid ini ditempatkan di kawasan titik pusat kampus UTM.

Masjid ini merupakan bangunan utama dari segi pemandangan serta terletak di dataran yang tinggi. Kedudukan masjid di bahagian tengah adalah selaras dengan konsep pembelajaran Islam, di mana masjid merupakan sumber dalam mencari dan menyebarkan ilmu. Ini bertepatan dengan motto UTM ‘Kerana Tuhan Untuk Manusia.’

Masjid Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS). Masjid ini terletak di Jalan Kuantan, Gambang, Pahang. Masjid ini dibina bagi kegunaan penuntut KUIPSAS dan juga penduduk sekitar. Oleh kerana kedudukan masjid ini yang strategik, ia turut menjadi tumpuan penduduk setempat dan juga musafir untuk menunaikan ibadat di masjid ini.

Tidak sabar rasanya untuk kembali menjejakkan kaki ke rumah-rumah Allah SWT bagi menunaikan ibadat sembahyang. Apabila tiba masanya nanti, marilah kita kembali mengimarahkan rumah-rumah Allah ini pada setiap hari.