Beberapa selebriti Muslim yang terkenal di Barat

Dunia Chan Abdullah 03-Jun-2020
Yasiin Bey atau Mos Def © Aaron Settipane | Dreamstime.com

Mungkin ramai daripada kita yang tidak perasan atau kurang tahu mengenai beberapa personaliti popular barat yang beragama Islam. Walaupun sesetengahnya bergelumang dengan dunia hiburan dan populariti, namun identiti mereka masih lagi seorang Muslim.

Berikut ialah beberapa selebriti Muslim beragama Islam yang terkenal dari seluruh dunia.

Muhammad Ali – Muhammad Ali atau nama kelahirannya Cassius Marcellus Clay, Jr adalah lagenda tinju Amerika Syarikat. Beliau telah memeluk Islam pada tahun 1975 dan meninggal dunia pada tahun 2016. Beliau ialah Muslim pertama menjadi peninju bertaraf dunia yang terkenal di kalangan umat Islam seluruh dunia. Sepanjang karier nama besar yang bergelar Ali ini, beliau telah terlibat dalam banyak perlawanan tinju yang hebat dan bersejarah. Ali dikenali dan dihormati bukan sahaja kerana kehebatannya, malah juga kerana prinsipnya. Beliau juga telah dinobatkan sebagai ahli sukan terbaik sepanjang abad oleh Sports Illustrated dan personaliti sukan terbaik oleh Perbadanan Penyiaran British (BBC).

Khabib Abdulmanapovich Nurmagomedov – Beliau adalah orang Islam pertama yang memenangi kejohanan pertarungan unggul (UFC). Beliau adalah Juara Dunia peringkat lightweight Ultimate Fighting Championship semasa serta juga memegang pemenangan berterusan paling lama dalam sejarah sukannya. Khabib yang berasal dan tinggal di Makhachkala, Dagestan (Rusia) juga menjadikan San Jose, California sebagai pusat latihannya. Beliau adalah antara personaliti Islam yang begitu bangga dengan agamanya dan sering melafazkan kata Alhamdulillah setelah memenangi pertarungannya.

DJ Khaled – Khaled Mohamed Khaled atau lebih dikenali sebagai DJ Khaled adalah seorang personaliti muzik dan media, DJ, penulis lagu, dan produser. Walaupun dianggap agak kontroversial dan tidak begitu islamik, DJ Khaled tidak pernah menyembunyikan status agamanya. Kata beliau, ‘Islam adalah kehidupan, saya dilahirkan dan dibesarkan sebagai seorang Muslim.’ Selain berkecimpung dalam dunia muzik, DJ Khaled juga menghasilkan karya penulisan, antaranya ialah The Keys yang telah berjaya masuk ke dalam senarai terlaris New York Times. Beliau yang terkenal sebagai seorang yang positif telah mula berubah semenjak kelahiran anak lelakinya, Asahd Tuck Khaled. Semoga perubahan ini berterusan hendaknya.

Mos Def – Nama sebenar penyanyi rap, pelakon dan aktivis ini ialah Dante Terell Smith. Beliau telah memeluk Islam pada ketika usianya 19 tahun dan menggunakan nama Yasiin Bey. Sejak itu dia banyak terlibat dalam aktiviti kemanusian termasuk kebajikan. Beliau juga menjadi inspirasi kepada banyak artis-artis hip hop, selain menghasilkan lagu dan lirik berkualiti berunsur positif dan kerohanian, seperti lagu Umi Says dan Wahid. Beliau telah berlakon dalam banyak filem bersama bintang besar Hollywood seperti Bruce Willis, Jack Black, Mark Wahlberg dan Charlize Theron dalam filem-filem seperti 16 Blocks, Be Kind Rewind dan The Italian Job.

Semoga kemasyhuran para selebriti ini tidak menjauhkan mereka dari menghidupkan ajaran agama Islam dalam kehidupan seharian.