Beberapa zoo di Malaysia

Singgah Abi Aasim 08-Ogo-2020
dreamstime_s_160695939
Zoo Negara Malaysia © Ravindran Smith | Dreamstime.com

Tiba sahaja musim cuti persekolahan, pasti ibu bapa telah membuat perancangan untuk membawa anak-anak ke tempat menarik. Selain membawa anak-anak berkelah dan mandi manda di kawasan pantai, ada juga tempat lain yang dapat memberikan keseronokan buat anak-anak sambil mendekatkan mereka dengan alam semulajadi.

Salah satunya ialah membawa anak-anak untuk berkunjung ke zoo. Anak-anak pastinya gembira dapat melihat haiwan-haiwan liar secara dekat. Di samping itu ibu bapa juga dapat meluangkan masa bersama-sama dengan anak-anak. Bagi yang berkeinginan membawa anak-anak berkunjung ke zoo, bolehlah pilih salah satu dari zoo yang ada di Malaysia ini.

Zoo Negara

Zoo Negara telah dibuka secara rasmi pada 14 November 1963 oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman. Zoo Negara terletak di Ulu Klang, Selangor. Zoo Negara diuruskan oleh Persatuan Zoologi Malaysia. Perbelanjaan Zoo Negara ditanggung dari hasil jualan tiket, sumbangan penderma dan juga penaja.

Zoo Negara mempunyai sekitar 5,000 haiwan dari lebih 400 jenis haiwan. Antara tarikan utama di sini ialah taman reptilia, pertunjukan haiwan dan juga Pusat Konservasi Panda Gergasi.

Zoo Melaka

Zoo Melaka diasaskan sekitar tahun 1963 bersama-sama Zoo Negara. Pada tahun 1979, pengurusan Zoo Melaka kemudiannya ditadbir oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN). Zoo Melaka kemudiannya menjadi pusat menyelamat hidupan liar.

Pada tahun 1987, Zoo Melaka kembali dibuka kepada umum oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Walaupun kembali dibuka kepada umum, Zoo Melaka masih mengekalkan fungsinya sebagai pusat menyelamat hidupan liar. Zoo Melaka ini adalah zoo kedua di Malaysia selepas Zoo Negara.

Zoo Johor

Beralih ke selatan tanah air, anda boleh berkunjung ke Zoo Johor. Sebenarnya Zoo Johor merupakan zoo tertua yang ada di dalam negara dan dibuka pada tahun 1923 oleh Almarhum Sultan Ibrahim. Zoo ini digelar kebun binatang dan tidak dibuka kepada umum. Sewaktu itu, Zoo Johor adalah satu-satunya zoo yang terdapat di rantau Asia Tenggara.

Pada tahun 1962, pihak istana Johor menyerahkan Zoo Johor kepada Kerajaan Negeri Johor. Pada tahun yang sama juga Zoo Johor dibuka kepada kunjungan umum. Zoo Johor merupakan satu-satunya zoo yang diuruskan oleh kerajaan negeri.

Zoo Taiping

Zoo Taiping merupakan zoo pertama di Malaysia yang dibuka kepada kunjungan umum. Zoo Taiping telah dibuka pada tahun 1961 dan dirasmikan pada tahun 1964.

Zoo Taiping menjadi habitat kira-kira 1,000 haiwan dari 200 jenis haiwan. Zoo Taiping turut menjalankan program pembiakan dan konservasi hidupan liar dan telah berjaya membiakkan beberapa jenis haiwan seperti harimau, singa, siamang dan rusa.

Antara tarikan utama di sini ialah safari malam atau ‘night safari’ di mana pengunjung boleh datang melihat haiwan-haiwan yang ada di sini pada waktu malam. Selain itu kedudukan Zoo Taiping di Taman Tasik Taiping ini menjadikan Zoo ini salah satu destinasi yang menarik untuk dikunjungi.

Jika berpeluang, bawalah anak-anak untuk berkunjung ke salah satu zoo yang ada di Malaysia ini. Sambil meluangkan masa bersama anak-anak, anda juga menyumbang kepada kelangsungan zoo-zoo ini melalui tiket yang anda beli.