Bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi Meninggal Dunia

Bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi 67 tahun telah disahkan meninggal dunia semalam. Berita kematian beliau telah disampaikan oleh kerajaan Mesir kepada pihak media.

Morsi dikatakan telah rebah dan pengsan sewaktu berada di mahkamah ketika menghadiri perbicaraan dan disahkan meninggal dunia selepas itu.

Morsi dipilih secara demokratik pada 2012 yang menyaksikan berakhirnya pemerintahan 30 tahun Presiden Hosni Mubarak. Beliau kemudian digulingkan selepas protes besar-besaran dan rampasan kuasa tentera pada Julai 2013.

Pada 2018, tiga ahli parlimen British melaporkan bahawa Morsi dikurung bersendirian selama 23 jam sehari, dan hanya dibenarkan bersenam selama satu jam. Menurut mereka, cara Morsi dikurung boleh diklasifikasikan sebagai penyeksaan dan juga boleh menyebabkan kematian.

Morsi yang mempunyai masalah kesihatan termasuk kencing manis serta penyakit hati dan buah pinggang juga dilaporkan tidak menerima rawatan perubatan yang diperlukan.

Human Right Watch (HRW) menuduh kerajaan Mesir pimpinan Presiden Abdel Fattah al-Sisi sebagai punca kepada kematian tragis bekas Presiden Mohammed Morsi. Kumpulan hak asasi manusia itu berkata, ia telah mendokumentasikan keadaan Morsi sejak tokoh tertinggi Ikhwanul Muslimin itu ditahan beberapa tahun lalu.

“Kami menyedari keadaan Morsi bertambah buruk. Setiap kali muncul di mahkamah, beliau memohon penjagaan dan rawatan kesihatan daripada hakim.

Beliau juga dinafikan hak daripada mendapatkan makanan dan perubatan yang mencukupi “, kata Pengarah Eksekutif HRW bagi rantau Asia Barat dan Afrika Utara, Sarah Leah Whitson.

Kata Whitson lagu, kerajaan Mesir menyedari bahawa kesihatan Morsi semakin merosot dan beliau juga mengalami penurunan berat badan serta pernah pengsan beberapa kali di mahkamah.

 

Sumber : Astro Awani 

Foto : Reuters