Pendapat 23-Apr-2020

Bekerja dari rumah semasa PKP – satu cabaran yang ketara

Chan Abdullah
Kolumnis
Kekal bekerja dari rumah © Andrey Sayfutdinov | Dreamstime.com

Bekerja dari rumah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pastinya memberikan pelbagai pengalaman baru bagi semua. Tidak kisahlah sama ada anda bekerja sendiri atau makan gaji. Bagi yang berkeluarga terutamanya wanita dengan anak yang masih kecil, ia pastinya sebuah cabaran besar yang perlu ditempuhi.

Cabaran utama bekerja dari rumah sepanjang tempoh PKP ini sudah tentulah untuk kekal produktif. Tidak semua dapat memberikan fokus di luar struktur organisasi tempat kerja. Terdapat pelbagai gangguan lain yang bakal mengganggu produktiviti bekerja di rumah. Antaranya ialah keperluan mendobi, mengemas rumah, menjaga anak-anak dan memasak.

Apa pun, seharusnya kita perlu bersyukur kerana masih mempunyai pekerjaan dan berpeluang bekerja dari rumah bersama keluarga tersayang sewaktu PKP ini. Seterusnya, berikut adalah tiga cabaran-cabaran biasa terbesar apabila bekerja dari rumah.

  • Tiada alatan dan sumber yang sesuai dan mencukupi. Walaupun kebanyakan isi rumah memiliki komputer atau komputer riba, tidak semua memiliki perisian yang diperlukan untuk bekerja. Tidak kurang juga masih ramai yang tidak memiliki talian internet yang stabil untuk membolehkan urusan pekerjaan berjalan dengan lancar.
  • Pasangan dan keluarga yang kurang memahami. Meskipun berada di rumah, bukan bermaksud anda bercuti. Keadaan ini kadang-kadang menjadi masalah jika mempunyai pasangan dan keluarga yang kurang memahami konsep bekerja dari rumah.
  • Tidak dapat memastikan kerja mana yang perlu dibuat terlebih dahulu. Kerja rumah atau kerja pejabat dahulu? Kedua-duanya sama penting.

Walau bagaimanapun, cabaran-cabaran ini bukanlah penyebab untuk anda berasa tertekan untuk bekerja dari rumah. Anda boleh mencuba langkah-langkah berikut agar kerja anda menjadi lebih produktif.

  • Mohon pada syarikat tempat bekerja (jika dibenarkan) untuk membawa pulang komputer riba atau komputer yang digunakan di pejabat anda. Jika pasangan anda turut bekerja, sekurang-kurangnya tidak ada isu masa yang terhad untuk menggunakan komputer peribadi di rumah. Tambahan pula, komputer atau komputer riba syarikat sudah dilengkapi dengan perisian kerja yang diperlukan.
  • Anda perlulah berbincang dengan pasangan dan ahli keluarga. Anda perlu menerangkan bahawa walaupun anda berada di rumah, anda masih lagi perlu bekerja dan menyiapkan kerja anda tepat pada waktunya. Pada permulaannya mungkin sukar, tetapi lama kelamaan, pasti pasangan dan ahli keluarga anda akan dapat menerima dan memahami.
  • Pengurusan masa dan disiplin yang tinggi amatlah diperlukan bagi membolehkan kerja dari rumah berjalan dengan lancar. Tetapkan jadual untuk melakukan kerja-kerja pejabat dan kerja rumah setiap hari. Amalkan untuk bekerja seperti waktu pejabat yang biasa dan tetapkan sasaran yang hendak dicapai setiap hari.

Akhir kata, walau di mana juga anda bekerja, tanggungjawab dan amanah yang diberikan perlu dijalankan dengan sebaik mungkin. Allah SWT memerintahkan dalam Al-Quran, surah Al-Inshiqaaq (84), ayat 6:

“Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya).”

Oleh itu, berniatlah agar sentiasa bekerja kerana Allah SWT kerana ini akan memberikan semangat diri untuk terus bekerja dengan cemerlang. Selamat bekerja dengan bersungguh-sunguh.

Artikel berkaitan
Pendapat
Pendapat 23-Jun-2020
Chan Abdullah
Kolumnis

Begitulah sedikit sebanyak pegalaman saya dan keluarga bercuti di Pulau Pangkor. Lega dan seronok melihat anak-anak gembira dapat keluar beriadah dan bercuti setelah lama terperap di rumah. Banyak pengalaman baru yang diperolehi. Benarlah kata pepatah, 'Jauh perjalanan, luas pemandangan'.

Teruskan Teruskan
Pendapat
Pendapat 15-Jun-2020
Chan Abdullah
Kolumnis

Sebaik sahaja kerajaan mengumumkan sektor pelancongan kembali dibuka, saya dan isteri terus merancang untuk pergi bercuti ke Pulau Pangkor. Pulau Pangkor terletak di daerah Manjung, Perak. Sebenarnya sebelum itu ingin merancang bercuti di Kuala Terengganu, tetapi memikirkan jarak yang agak jauh dari tempat tinggal serta perlu mengambil cuti yang panjang, akhirnya Pulau Pangkor menjadi pilihan.

Teruskan Teruskan
Pendapat
Pendapat 05-Jun-2020
Chan Abdullah
Kolumnis

Mengambil pemain naturalisasi sebagai pemain sesuatu pasukan negara bukanlah sesuatu perkara yang baru. Dalam sukan lain misalnya seperti ping pong dan badminton, ramai pemain kelahiran China menjadi wakil negara lain. Malah dalam sukan bolasepak sendiri juga perkara ini sudah menjadi kebiasaan.

Teruskan Teruskan
Pendapat
Pendapat 26-Mei-2020
Chan Abdullah
Kolumnis

Alhamdulillah, dengan adanya kemajuan teknologi, terubatlah sedikit perasaan sedih dan kecewa tak dapat beraya bersama keluarga. Setelah berbulan lamanya petugas barisan hadapan berkorban berjuang membantu melawan COVID-19, tibalah masanya rakyat Malaysia yang lain juga turut berkorban sementara di hari raya ini. Patuhi arahan dan garis panduan yang ditetapkan sewaktu sambutan hari raya.

Teruskan Teruskan