Belajar menghargai nikmat sihat

Kehidupan Hanita Hassan 09-Jul-2020
Hargai nikmat sihat © Vasily Gureev | Dreamstime.com

Nikmat kesihatan amat penting dan berharga bagi setiap manusia.  Apabila kita sihat, kita dapat melakukan banyak perkara.  Kita boleh bekerja dan beribadat  kepada Allah SWT.

Kita bekerja untuk mencari nafkah keluarga, kita juga berupaya melakukan ibadat menunaikan kewajipan sebagai hamba-Nya.  Kita dapat melakukan ibadat fardu dan sunat, kita juga dapat bersama-sama membangunkan masyarakat menuju kejayaan yang disyariatkan oleh Islam.

Kita hanya sedar betapa besarnya nikmat kesihatan apabila sakit.  Setelah hilang keupayaan tubuh badan, baharulah kita faham betapa beruntungnya saat kita sihat.

Masa yang berlalu itu tidak boleh diputar  kembali untuk mendapatkan kesihatan badan apabila sudah sakit. Sedangkan Allah SWT selalu mengingatkan agar  kita menjaga kesihatan tubuh.

Sayangnya apabila kita mula  menghargai, segalanya telah pergi.  Selalunya begitulah, sebuah penghargaan akan hadir pada saat terjadinya sebuah kehilangan.

Justeru, penjagaan kesihatan diri hendaklah bermula semasa anda masih sihat. Usah tunggu sehingga sakit baharu ingin menjaga  kesihatan. Ketika itu semuanya sudah terlewat.

Mulakan hari ini semasa badan masih sihat sama seperti orang yang ingin mengambil insuran. Sekiranya pesakit kencing manis, darah tinggi atau  jantung diberi peluang, mereka juga pasti ingin kembali ke masa lampau dan mengubah gaya hidup.

Banyak faktor yang menyebabkan tubuh badan kita sakit. Gaya hidup dan kaedah pemakanan adalah salah satu sebab. Mengambil pelbagai jenis makanan dapat memastikan tubuh badan mendapat semua khasiat yang diperlukan.

Gunakan piramid makanan sebagai panduan untuk memilih makanan sihat. Banyakkan sayuran dan buah-buahan kerana kaya serat. Ia baik terutama kepada pesakit sembelit yang kronik, buasir dan penyakit usus.

Serat juga membantu mengurangkan risiko penyakit jantung, kencing manis dan pelbagai jenis kanser. Aktiviti fizikal dapat membantu badan membakar kalori berlebihan daripada makanan.

Biasanya penyakit-penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, jantung atau buah pinggang mengambil masa berpuluh tahun sebelum ia menunjukkan gejala penyakit.  Sekiranya anda mengidap penyakit  kronik di usia muda, ia bukan sahaja membebankan diri tetapi juga keluarga dan masyarakat seluruhnya.

Kurangkan gula dalam minuman dan garam dalam makanan.  Tinggalkan amalan merokok kerana itu semua adalah keseronokan sementara untuk hari ini tetapi ia mungkin mendatangkan beban kepada anda dan keluarga pada masa hadapan.

Daripada Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Dua kenikmatan yang kebanyakan manusia terpedaya dengan keduanya iaitu nikmat sihat dan nikmat waktu lapang.”  (Hadis riwayat al-Bukhari 6412, al-Nasa’I 2304, dan Ibnu Majah 4309)

Sangat beruntung kepada anda yang dapat memanfaatkan nikmat sihat dan waktu lapang.  Hargailah apa yang masih ada dalam gengaman.  Nikmati dan manfaatkan kerana apabila Allah SWT menarik kedua-dua nikmat itu, segalanya sudah tidak bermakna lagi.

Sepertimana sabda Rasulullah SAW: “Manfaatkan lima perkara sebelum lima perkara iaitu waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu, waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu, waktu kayamu sebelum datang masa kefakiranmu, waktu luangmu sebelum datang masa sibukmu, hidupmu sebelum datang kematianmu.”  (HR al-Hakim)