Beli-Belah Sambil Bersedekah Pada Bulan Ramadan

Sahsiah Nor Syariza Tahir 03-Mei-2019

Bulan Ramadan semakin menghampiri.

Dengan membawa beribu keberkatan dan hikmah, ia bagaikan suatu medan untuk umat Islam berlumba-lumba dalam beribadah dan membuat amal kebajikan bagi mendapatkan ganjaran serta keredhaan Allah S.W.T.

Selain ibadah wajib dan sunat yang dilipat gandakan ganjarannya dalam bulan yang penuh kemuliaan ini, pelbagai amal kebaikan turut boleh diperbanyakan, antaranya, dengan cara bersedekah kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Bagi tujuan itu, syarikat pengendali rangkaian peruncitan terkemuka, Mydin Mohamed Holdings Bhd. (Mydin) melancarkan program tanggungjawab sosial korporatnya, ‘Mydin Prihatin’ bagi menggalakkan para pembeli untuk turut sama bersedekah menerusi aktiviti beli-belah.

Di bawah program itu, Mydin mewujudkan sebuah tabung bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada 14 rumah anak-anak yatim dan golongan asnaf di seluruh negara.

Mendapat kerjasama daripada 11 syarikat pembekal berjenama, pembeli secara tidak langsung boleh menyumbang apabila mereka membeli produk-produk daripada jenama-jenama terlibat.

Menerusi setiap pembelian, sejumlah 10 sen hingga 50 sen akan disalurkan ke dana ‘Mydin Prihatin’ yang akan disumbangkan kepada golongan sasaran.

 

“Matlamat kami untuk melaksanakan program ini adalah untuk mengimarahkan Ramadan dengan penuh berkat, seterusnya merayakan Syawal dengan penuh kesyukuran.

“Dengan sumbangan ini, kami berharap golongan yang memerlukan akan terus mengukir senyuman dan meraikan lebaran dengan penuh bererti,” ujar Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin.

Tambah Ameer Ali, dana tersebut akan mula disalurkan menjelang bulan Syawal dan akan terus diagihkan bagi sepanjang tahun ini.

“Kami menyasarkan untuk mengagihkan sebanyak RM200,000 kepada rumah-rumah anak-anak yatim dan golongan asnaf yang berdaftar di seluruh negara yang telah dikenalpasti,” jelasnya.

Program ‘Mydin Prihatin’ mendapat kerjasama daripada syarikat-syarikat pembekal jenama seperti Beras Juara, Coca-Cola Malaysia, Enaq, Enrico’s, Mamee, Antabax, Nona, P&G, Sunquick, Trichy dan Gardenia.

Turut terlibat adalah platform e-Dagang terkemuka iaitu Shopee yang merupakan rakan eksklusif Mydin, di mana setiap belian produk jenama Mydin sendiri di platform Shopee akan turut disumbangkan ke tabung dana tersebut.

Foto: Mydin dan Aiem Rahman