Beli Juadah Berbuka Menggunakan 5 Aplikasi Pesanan Makanan Ini

Bagi golongan yang bekerja, pada bulan puasa ini, adakah anda sering mengalami masalah untuk membeli juadah berbuka?

Sudahlah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang luar biasa, tempoh masa yang tinggal untuk tibanya waktu berbuka juga amat suntuk sekali, sekali gus membataskan hasrat untuk memasak di rumah.

Mahu pergi ke bazar Ramadan? Sukarnya nak mendapatkan parkir.

Bukan sekadar jalan raya di kawasan sekitar bazar mengalami kesesakan. Malahan bazar itu sendiri dipenuhi dengan ribuan manusia yang bersesak-sesak untuk membeli juadah berbuka masing-masing.

Mahu berbuka di restoran-restoran pula, pastikan anda membuat tempahan sebelum pukul 5, atau full house!

Situasi-situasi sebegini  memang sering dilalui oleh warga kota terutamanya.

Namun kini, anda tidak perlu tertekan lagi memikirkan semua masalah tersebut kerana anda boleh membeli juadah berbuka menggunakan aplikasi pesanan makanan.

Tidak perlu melalui kesesakan jalan raya, tidak perlu mencari parkir, tidak perlu bersesak dengan orang ramai di bazar Ramadan dan tidak perlu beratur untuk membeli makanan.

Hanya tempah menggunakan telefon bimbit anda, dan nantikan sahaja makanan dihantar di depan pintu rumah anda.

Berikut kami senaraikan 5 pilihan popular aplikasi penghantaran makanan di negara ini.

 

1. foodpanda

Antara aplikasi yang menjadi pilihan utama pembeli disebabkan ciri-ciri penggunaanya yang mudah. Pengguna hanya perlu memasukkan alamat penghantaran, dan senarai restoran yang mengambil bahagian akan terus disenaraikan. Pesanan mereka kemudiannya akan disediakan oleh restoran dan diserahkan kepada kakitangan foodpanda untuk dihantar sehingga ke pintu rumah pelanggan. Selain itu, pengguna juga boleh membuat pembayaran sama ada secara online atau tunai ketika penghantaran. Aplikasi foodpanda boleh dimuat turun di telefon bimbit atau boleh dilayari di laman web foodpanda.

 

2. GrabFood

Khidmat penghantaran makanan yang dimiliki oleh Grab Malaysia ini turut mengetengahkan ciri-ciri yang mesra pengguna. Meskipun pada ketika ini, perkhidmatan hanya terdapat di sekitar Lembah Klang, namun syarikat ini bakal memperluaskannya ke bandar-bandar lain seperti Pulau Pinang, Melaka, Johor Bahru, Kuching dan Kota Kinabalu pada tahun ini. Bagi pembeli yang kerap membuat tempahan, anda boleh menikmati ciri Grab Food Subscription Pass yang pastinya memberi lebih penjimatan kepada pembelian. Aplikasi GrabFood boleh dimuat turun di telefon bimbit atau boleh dilayari di laman web GrabFood.

 

3. dahmakan

Dengan hanya empat langkah mudah, iaitu pilihan makanan yang enak dan sihat, tempahan menerusi aplikasi atau laman web, penyediaan makanan dan penghantaran ke pintu rumah, dahmakan adalah satu lagi aplikasi khidmat penghantaran makanan yang mudah untuk digunakan. Ia tidak mengenakan caj penghantaran selain menawarkan pelbagai promosi dan ganjaran untuk pelanggan setia atau bagi yang menempah dalam kuantiti yang banyak. Aplikasi dahmakan boleh dimuat turun di telefon bimbit atau boleh dilayari di laman web dahmakan.

 

4. Mammam

Dengan lebih daripada 30 makanan Melayu, Cina, India, Thai atau vegetarian untuk dipilih, Mammam merupakan khidmat penghantaran makanan atas permintaan yang menerima pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Pembeli hanya perlu memilih makanan yang ingin dipesan daripada senarai yang disediakan, buat pembayaran secara online atau tunai ketika penghantaran, dan makanan akan dihantar ke depan pintu rumah. Pada masa ini, khidmat penghantaran beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 10 malam. Menariknya, pembeli boleh membuat pesanan makanan dua hari lebih awal dan memilih waktu penghantaran mengikut kesukaan masing-masing. Aplikasi Mammam boleh dimuat turun di App Store untuk pengguna iOS atau boleh dilayari di laman web Mammam.

 

5. DeliverEat

Merupakan sebuah syarikat penghantaran makanan tempatan yang diasaskan di Pulau Pinang pada tahun 2012. Dengan lebih daripada 1,500 pilihan restoran popular dan jenama-jenama besar, perkhidmatan DeliverEat pada masa ini ditawarkan di Pulau Pinang, dan telah diperluaskan ke beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor . Dengan jaminan tempoh penghantaran selama sejam, pembeli boleh membuat pilihan untuk membayar secara online atau tunai. Khidmat penghantaran adalah dari pukul 11 pagi hingga 9 malam. Aplikasi DeliverEat boleh dimuat turun di telefon bimbit atau boleh dilayari di laman web DeliverEat.

Foto: foodpanda, GrabFood, dahmakan, Mammam & DeliverEat

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Tidak perlu melalui kesesakan jalan raya, tidak perlu mencari parkir, tidak perlu bersesak dengan orang ramai di bazar Ramadan dan tidak perlu beratur untuk membeli makanan. Hanya tempah menggunakan telefon bimbit anda, dan nantikan sahaja makanan dihantar di depan pintu rumah anda.