Belimbing untuk ibu hamil

Selera Hanita Hassan 18-Sep-2020
dreamstime_s_33406484
Buah Belimbing © Viroj Suttisima | Dreamstime.com

Ibu mengandung memerlukan perancangan diet yang betul.  Pengambilan makanan yang mengandungi nutrien adalah penting untuk pertumbuhan dan perkembangan bayi dalam kandungan.  Diet sihat biasanya mengandungi buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, protein tanpa lemak dan lemak yang sihat.

Buah-buahan penting kepada ibu hamil kerana ia mengandungi sumber nutrien penting yang membantu bayi berkembang dan membesar sebagaimana sepatutnya.  Vitamin C dalam buah-buahan boleh memperbaiki tisu badan, menyembuh luka, mengekalkan kesihatan gigi dan gusi serta untuk imuniti yang kuat.

Kalium membantu mengekalkan tekanan darah.  Manakala serat pemakanan menggalakkan pencernaan, mengurangkan tahap kolesterol, risiko penyakit jantung, mencegah sembelit dan mencegah pembentukan buasir. Selain itu kandungan folat dalam buah-buahan membentuk sel darah merah dan mengurangkan risiko spina bifida, kecacatan tiub neutral dan anencephaly pada bayi.

Kalsium pula penting kepada perkembangan tulang dan gigi bayi dan tahap antioksidan yang tinggi dalam buah membantu mengekalkan imuniti dan peredaran darah di seluruh tubuh.

Belimbing adalah antara buah-buahan yang baik untuk ibu hamil.  Buah berwarnaa kuning ini kaya dengan serat dan vitamin C, potasium, vitamin A,  antioksidan seperti polifenol, sedikit magnesium, protein dan kalsium.

Dalam sebiji belimbing berukuran sedang (90 gram), sekurang-kurangnya ia mengandungi tiga gram serat, satu gram protein serta memenuhi 52 peratus keperluan harian tubuh  iaitu  vitamin C. Belimbing juga rendah kalori dan ia membantu menurunkan berat badan serta mengurangkan risiko penyakit  jantung dan stroke.

Bagi ibu hamil, kandungan nutrien dalam buah belimbing boleh membantu mencegah kram serta mengendalikan stres dan memudahkan pencernaan.  Kandungan antioksidan belimbing boleh mencegah perkembangan sel abnormal atau sel kanser selama kehamilan.  Ia juga baik untuk kesihatan mata kerana kandungan vitamin A yang cukup banyak, menurunkan kolesterol jahat dalam tubuh apabila  rajin mengamalkannya.

Kajian mendapati ibu hamil yang suka makan makanan ringan ketika mengandung berupaya menetapkan bayi anda untuk mempunyai tabiat makan yang buruk seumur  hidupnya.   Satu kajian mendapati bahawa bayi bagi ibu yang gemar makan makanan ringan ketika mengandung lebih cenderung untuk ketagihan kepada diet   yang tinggi kandungan lemak dan gula.

Penyelidikan turut mendapati bayi belum lahir yang tidak mendapat pemakanan betul akan melalui perubahan kekal dalam fisiologi dan metabolisme mereka di utero sekali gus boleh mencetus penyakit pada masa hadapan.

Ibu hamil perlu mempelbagai pengambilan makanan sekurang-kurangnya lima bahagian buah-buahan dan sayur segar setiap hari.  Buah-buahan boleh terdiri daripada buah-buahan segar, buah-buahan yang ditinkan, buah-buahan sejuk beku atau buah-buahan kering.

Makan banyak buah-buahan segar semasa hamil boleh membantu memastikan anda dan bayi tetap sihat.  Ia kerana buah segar mengandungi banyak vitamin, nutrien penting dan sumber serat yang baik untuk tubuh.  Satu hidangan buah adalah satu potong buah untuk buah-buahan bersaiz lebih besar daripada saiz bola tenis atau satu cawan buah potong.

Selain belimbing, buah-buahan lain yang baik sepanjang tempoh kehamilan seperti buah oren,  mangga, delima, avokado, pir, jambu batu, pisang, kiwi, aprikot, anggur, beri, epal, buah-buahan kering,  lemon, ceri,  dan tembikai.  Tiada buah tertentu yang harus dielakkan bagi wanita hamil.  Bagaimanapun penting untuk mengetahui bahagian pengambilannya kerana sesetengah  buah-buahan dan jus buah-buahan kering mengandungi gula dan kalori yang tinggi berbanding buah-buahan segar.