Beradab dengan tong sampah dan berikan haknya

Alam Sekitar 15 Apr 2021 Siti Nur Baiin Che Harun
Pilihan oleh Siti Nur Baiin Che Harun
Beradab dengan tong sampah dan berikan haknya
Beradab dengan tong sampah dan berikan haknya © Erhan Inga | Dreamstime.com

Adab dan tong sampah? Artikel ini mengetengahkan tentang kesedaran yang perlu ditanam dalam diri individu dan masyarakat terhadap cara dan adab yang sepatutnya untuk membuang sampah.

Adab terhadap tong sampah sentiasa diabaikan kerana kita tidak merasa dan tidak berada di tempat orang yang mengutip sampah.

Beradab dengan tong sampah dan berikan haknya

Kesedaran terhadap adab dengan tong sampah sepatutnya dipertingkatkan. Ini kerana, kesan dan amal jariah ini merupakan rantaian pahala harian kita.

Tanpa sedar, dengan memberikan hak yang sebenar kepada tong sampah juga merupakan salah satu amalan yang mulia tetapi dipandang enteng oleh masyarakat.

Mengasingkan sisa basah dan kering

Salah satu adab dengan tong sampah adalah dengan mengasingkan sampah atau sisa yang hendak dibuang. Ini bagi memudahkan proses kitar semula.

Lebih-lebih lagi ia melibatkan pekerja majlis perbandaran yang mengutip sampah itu sendiri. Permudahkanlah urusan mereka dalam menjalankan tugas mereka.

Dari Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya.”

(Hadis riwayat Muslim)

Memudahkan urusan orang lain

Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa memudahkan orang yang dalam kesulitan, Allah memudahkannya di dunia dan akhirat.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah)

“Sesungguhnya Allah akan menolong seorang hamba-Nya selama hamba itu menolong orang lain.”

(Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan Tirmidzi)

Budaya mat saleh yang perlu dijadikan contoh

Bila bercakap tentang budaya ‘mat saleh’, ramai yang suka menjadikan budaya barat ini sebagai salah satu gaya hidup. Sebagai teladan, di United Kingdom contohnya, sistem yang dijalankan di sana sangat baik untuk dijadikan contoh.

Sebagai pengetahuan dan perkongsian, mereka tidak akan mengutip atau mengangkut sampah yang dicampuradukkan antara yang kering dan basah. Bahkan tong sampah yang tidak dapat ditutup sekalipun akibat terlalu penuh tidak akan dilayan oleh mereka. Mereka akan membiarkan sehingga sampah itu diurus dengan baik.

Sistem buang sampah dan proses kitar semula

Ini kerana, mereka telah menetapkan tong sampah kering dan basah di hadapan kediaman masing-masing. Ini bagi memudahkan proses kitar semula bagi sampah kering. Sampah akan dikutip mengikut hari yang ditetapkan berdasarkan sampah kering dan basah. Mereka maklum dan ambil cakna tentang pengurusan sampah.

Biasanya terdapat tiga jenis tong sampah – tong sampah kitar semula, umum dan sisa makanan. Plastik sampah umum mesti diikat rapi sebelum diletak dalam tongnya. Sampah kitar semula seperti kertas, plastik dan kaca dimasukkan dalam tong begitu saja. Sisa makanan pula sama ada dengan plastik sampah atau tanpa plastiknya.

Tong-tong ini perlu siap diletakkan di hadapan rumah (berdasarkan jenis tong apa) akan dikutip pada pagi hari, mengikut tarikh yang telah ditetapkan. Ambil dan praktik contoh yang baik seperti ini.

Kebersihan itu separuh daripada iman. Islam sangat menitikbertkan hal kebersihan. Didik diri supaya berdisiplin dan selalu memudahkan hal orang lain sekalipun ia hanya melibatkan adab dengan tong sampah.