Beralah bukan bermakna kalah, tapi benci berbalah

Perkahwinan Tari Basir
Tari Basir
Beralah bukan bermakna kalah, tapi benci berbalah
Beralah bukan bermakna kalah, tapi benci berbalah © Odua | Dreamstime.com

‘Sedangkan lidah lagi tergigit’. Sebuah frasa yang sentiasa akan duduk menetap dalam satu ikatan perhubungan. Sama ada persahabatan, ikatan kekeluargaan dan adik-beradik, mahupun ikatan perkahwinan. Selagimana ikatan itu tetap termeterai, frasa tersebut tetap akan sentiasa terealisasi sama ada sedar mahupun tidak sengaja.

Frasa ‘sedangkan lidah lagi tergigit’ merujuk kepada salah faham atau perbalahan yang berlaku sesama insan yang rapat dan tersayang. Meskipun frasa ini selalunya diguna pakai bagi menggambarkan hubungan suami isteri yang penuh dengan warna cerah mahupun gelap, ia juga boleh diguna pakai untuk hubungan selainnya.

Mengapa ‘sedangkan lidah lagi tergigit’?

Semua sedia maklum lidah merupakan antara anggota yang terpenting dalam tubuh badan manusia. Tanpa lidah, seseorang itu tidak akan mampu untuk berkata-kata. Malahan, terlalu panjang atau terlalu pendek lidah seseorang itu akan memberi kesan kepada kemampuannya untuk berkata-kata. Seperti pelat, gagap bahkan juga menjadi bisu.

Selain digunakan sebagai medium komunikasi, lidah juga menjadi instrumen penting untuk manusia merasai makanan. Deria rasa yang terkandung di lidah manusia seperti masin, masam dan lain-lain amat diperlukan oleh manusia ketika merasai makanan. Tanpa lidah, manusia tidak akan memiliki deria rasa tersebut. Dan setiap makanan atau minuman yang dirasai tidak ubah seperti air putih yang rasanya tawar dan tidak menyelerakan.

Lidah letaknya di dalam mulut, dan dikelilingi oleh barisan gigi. Meskipun lidah hanya bergerak apabila otak manusia mengarahkannya, namun ada masa-masa yang tertentu ia bergerak sendiri di luar kawalan otak manusia.

Hal itulah yang menyebabkan lidah tanpa sedar berada di antara barisan gigi atas dan bawah, lalu barisan gigi tergigit lidah tersebut. Sudah tentu, perkara yang berlaku di luar kawalan ini berisiko menyebabkan gigitan gigi yang kuat dan menyebabkan lidah terluka.

Setiap manusia pasti pernah merasai perkara ini sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka. Sudah tentu, apabila lidah tergigit tanpa sengaja, ia menyebabkan rasa kurang senang ketika mahu makan kerana luka atau rasa sakit. Bahkan, deria rasa mungkin akan hilang sekejap dan membantutkan selera makan.

Hubungan pasti terpalit salah faham dan perbalahan

Tidak dinafikan, hubungan yang erat seperti hubungan kekeluargaan, persahabatan atau perkahwinan dibina atas rasa sayang dan cinta. Malahan, ia juga dibina disebabkan wujudnya persamaan yang banyak antara mereka.

Meskipun begitu, kadangkala salah faham dan perbalahan akan berlaku sama ada secara tiba-tiba ataupun disengajakan. Kedua-dua perkara ini ialah lumrah dan adat dalam ikatan perhubungan, kerana ia simbol mereka menjadi diri sendiri dan berani meluahkan apa sahaja yang terbuku di hati.

Berbeza dengan orang yang tidak mereka rapat, mereka jarang menjadi diri sendiri dan hanya membiarkan luahan mereka terbuku di hati sahaja. Kerana itulah ada yang menyatakan, pergaduhan itu tanda sayang, dan hanya akan lebih mengeratkan perhubungan.

Beralah bukan kalah

Kadangkala, ada masanya seseorang yang bersalah akan menegakkan benang yang basah. Maka, apabila seseorang yang betul beralah dan membiarkan yang bersalah itu tadi menang, maka ia bukanlah tanda dirinya kalah atau merelakan apa yang salah.

Namun, ia tanda dirinya tidak mahu berbalah dan sayangkan hubungan yang termeterai antara mereka. Malahan, ia juga satu tanda kematangan dirinya. Di mana dirinya menyedari, pergaduhan ini hanya akan menjadi arang apabila menang, dan yang kalah akan menjadi abu.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.