Berbagai kelebihan dan kemanisan zakat

Kekuatan zakat © Imran Kadir | Dreamstime.com

Zakat merupakan tunggak penting dalam Islam. Ia menguatkan keimanan setiap Muslim. Menjadi  kewajipan setiap Muslim yang mempunyai Nisab (harta minimum dengan anggaran bernilai sekitar 85-87 gram emas) untuk memberi zakat kepada yang memerlukan. Sesungguhnya Allah SWT memberi ganjaran kepada setiap hambanya yang mengeluarkan zakat.

Kepentingan zakat jelas dalam firman Allah SWT: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk), dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah At-Tawba 9, ayat 103)

Zakat merupakan cara Islam mengamalkan kebajikan. Ajaran Islam menganjurkan penganu​tnya bersedekah dengan jumlah yang tertentu kepada yang kurang berkemampuan. Keadaan sekitaran kita mencerminkan tindak tanduk kita. Kebahagiaan yang abadi  terletak pada sikap kita yang tidak hanya mementingkan diri kita sendiri. Jelasnya zakat merupakan sistem yang dapat membawa kebahagiaan kepada saudara Seislam yang memerlukan.

Tujuan zakat adalah untuk membantu golongan miskin dalam masyarakat sekeliling. Ia memberi mereka peluang untuk hidup tanpa penderitaan. Ibadah zakat menunjukkan rasa kesyukuran kita terhadap nikmat yang terlalu banyak kurniaan Allah SWT. Zakat mencetuskan kesan positif yang berpanjangan, dengan kemurahan hati kita. Percayalah, kebahagiaan hidup terbit bila kita berkongsi nikmat dengan mereka yang kurang bernasib baik.

Zakat juga menambah kestabilan sosial dan ekonomi dengan sirkulasi harta. Ini sekaligus dapat membentuk masyarakat yang sihat. Ia memperbaiki taraf kehidupan bagi yang kurang mantap dan dengan sendirinya mengekang gejala kecurian, keganasan dan kes-kes jenayah. Ini akan mengurangkan kadar jenayah dalam masyarakat dan memberi setiap orang peluang untuk menikmati hidup yang sihat.

Kesan perkongsian peratusan harta yang sedikit ini juga akan membuka peluang kepada saudara seislam  kita yang mempunyai masalah kewangan untuk mendapat pekerjaan. Perkara ini dapat membantu mereka merubah kehidupan mereka dan mereka yang mengeluarkan zakat pula akan meraih keberkatan. Allah SWT memberi amaran tentang melambatkan membayar zakat, atau golongan yang enggan membayar zakat:

“Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya – menyangka bahawa keaadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah Aal-Imran 3, ayat l80)

Allah SWT juga menjanjikan ganjaran yang besar kepada umat Islam yang sering mengeluarkan zakat. Jelasnya, Islam mewajibkan kita mengeluarkan zakat untuk mengelakkan kerugian dalam perniagaan. Firman Allah dalam Al-Quran: “Siapakah orangnya yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas) supaya Allah melipat-gandakan balasannya? Dan (selain itu) ia akan beroleh pahala yang besar!” (Surah Al-Hadid 57, ayat 11)

Mengeluarkan zakat tepat pada waktunya membawa kebaikan kepada setiap lapisan masyarakat dan meningkatkan rasa nikmat akan kehadiran Allah SWT dalam sanubari kita.  Zakat membangkitkan rasa tidak mementingkan diri sendiri  di kalangan masyarakat dan memberi keberkatan  kepada setiap Muslim yang menerima dan memberi. Itulah kemanisan zakat.