Berbagai peristiwa pada 10 Muharam

Agama Zalika Adam 29-Ogo-2020
Light in background against hands held together towards God
Berbagai peristiwa pada 10 Muharam © Nasir1164 | Dreamstime.com

Berbagai peristiwa pada 10 Muharam dipercayai telah berlaku dan melibatkan para Nabi Allah SWT. Peristiwa yang penuh dengan keberkatan. Antara perkara sunat dilakukan pada hari tersebut ialah berpuasa.

Tentang keutamaan puasa Asyura, Ibnu Abbas r.a menyatakan:

“Saya tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa pada suatu hari karena ingin mengejar keutamaannya selain hari ini (‘Asyura) dan tidak pada suatu bulan selain bulan ini (maksudnya: bulan Ramadhan).”

(Hadis riwayat Al-Bukhari)

Imam Nawawi menjelaskan dalam kitab Al-Majmu’: “Asyura dan Tasu’aa adalah dua nama yang ada hamzah dibelakangnya (Isim Mamdud). Ia terkenal dalam beberapa kitab bahasa. Sahabat kami berkata: Asyura ialah hari yang kesepuluh daripada bulan Muharam dan Tasu’aa daripadanya juga…” Kedua-dua hari tersebut disunatkan berpuasa.

Peristiwa pada 10 Muharam

Peristiwa yang berlaku pada 10 Muharam, antaranya ialah:

  1. Nabi Adam a.s diciptakan dari Syurga
  2. Adam a.s diterima taubatnya
  3. Naik dan sejajarnya perahu Nabi Nuh a.s dengan Bukit Zuhdi setelah banjir besar
  4. Terbelahnya laut merah setelah Nabi Musa a.s dikejar Firaun
  5. Tenggelamnya Firaun di dasar laut merah saat mengejar Nabi Musa a.s
  6. Nabi Yunus a.s dikeluarkan dari perut ikan paus
  7. Nabi Yusuf a.s dikeluarkan dari perigi setelah dicampakkan saudara-saudaranya
  8. Taubat umat Nabi Yunus a.s diterima
  9. Nabi Ibrahim a.s dilahirkan
  10. Ibrahim a.s terselamat dari api yang membakarnya oleh Raja Namrud
  11. Nabi Isa a.s dilahirkan
  12. Isa a.s diangkat ke langit
  13. Penglihatan Nabi Ya’qub a.s dikembalikan
  14. Nabi Daud a.s diampunkan dosanya

Memasak Bubur Asyura

Masyarakat Malaysia kebiasaannya akan memasak bubur yang dipanggil ‘Asyura’, pada hari ke sepuluh daripada bulan Muharam. Bubur ini adalah berbeza jenisnya di setiap negeri di Malaysia.

Ada yang mengatakan ramuan bubur ini hendaklah terdiri daripada 10 bahan, kerana dimasak pada 10 Muharam. Antara cerita yang dikaitkan dengan bubur asyura ialah:

Pertama: Cerita Bahtera Nabi Nuh a.s

Cerita asyura ada disebutkan dalam kitab “Nihayatuz Zain” karangan Syeikh Nawawi Al Banteni, dan di dalam kitab “Nuzhatul Majalis” karangan Syeikh Abdur Rahman Al-Ushfuri serta di dalam kitab “Jam’ul Fawaid” karangan Syeikh Daud Al Fathoni.

Kitab-kitab tersebut antaranya menceritakan bahawa, ketika bahtera Nabi Nuh a.s berlabuh di bukit Juudi pada Hari Asyura, maka berkatalah Baginda kepada umatnya: “Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”.

Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang Ful (kacang Poi) dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan Hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh  jenis biji-bijian yang dimasak.

Maka berkatalah Nabi Nuh a.s: “Masaklah kamu semua kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang.” Namun, kisah Nabi Nuh ini masih belum mendapat kesahihannya.

Kedua: Galakkan memberi makan

Al-Huwaizi menceritakan dalam kitabnya Nur at-Thaqalain: “Allah SWT tidak menjadikan Ibrahim a.s sebagai kawannya melainkan memberikannya makan, solat pada waktu malam sedangkan orang lain sedang tidur”.

Firman Allah SWT:

“Katakanlah: Apakah akan aku jadikan pelindung selain dari Allah yang menjadikan langit dan bumi, padahal Dia memberi makan dan tidak memberi makan

(Surah al-Anaàm: 14)

Justeru, kita perlulah cakna dengan peristiwa yang berlaku pada hari kesembilan dan kesepuluh bulan Muharam. Bermulanya pada penghijrahan Rasulullah SAW pada satu Muharam hingga ke hari Asyura ini.