Berbaik sangka membina silaturahim

Sahsiah Hanita Hassan 27-Ogo-2020
Berbaik sangka © Narith Thongphasuk | Dreamstime.com

Kita dituntut untuk sentiasa berbaik sangka. Ia bukan sahaja akan mendekatkan kita dengan kebaikan, tetapi juga menjauhkan diri daripada melakukan fitnah kepada orang lain.

Berbaik sangka dapat membina hubungan silaturahim sesama manusia. Dalam masa yang sama membantu keharmonian sesebuah masyarakat dengan menjauhi sengketa dan berpecah-belah yang hanya merugikan kita dan negara dalam jangka masa panjang.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman!  Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sebahagian yang lain.  Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati?”  (Surah Al-Hujurat, ayat 12)

Berbaik sangka sesama manusia lebih mulia daripada berburuk sangka yang boleh mendatangkan dosa. Walau bagaimanapun sikap bersangka baik perlu juga diimbangi dengan sikap berhati-hati supaya tidak disalah erti dan dipandang rendah oleh musuh.

Beberapa panduan berguna ini boleh membantu anda mengekalkan diri supaya berbaik sangka dan tidak mudah dikhianati.  Pertamanya banyakkan berdoa kepada Allah SWT, meminta petunjuk dan bantuan-Nya.

Bacalah doa-doa yang disarankan setiap kali selepas solat atau ketika mahu keluar rumah dan berdamping dengan masyarakat. Terdapat pelbagai doa  yang telah diriwayatkan dalam hadis-hadis yang boleh diamalkan. Doa adalah senjata orang mukmin.

Sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.  Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Surah Ghafir, ayat 60)

Dalam sebuah hadis Riwayat At-Tirmidzi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada yang boleh menolak qada Allah kecuali doa dan tiada yang boleh menambah umur kecuali dengan berbuat amal kebajikan.”

Ketiganya kita hendaklah sentiasa menerima kata-kata orang dengan makna yang baik.  Selain itu carilah ruang untuk sentiasa memaafkan kesalahan orang terhadap kita.  Elakkan daripada menjatuhkan hukum terhadap niat seseorang.

Sheikh Abdul Kadir al-Jailani memberi empat nasihatnya kepada kita supaya sentiasa berbaik sangka sesama manusia. Pertamanya, apabila bertemu dengan seseorang, ucapkan dalam diri bahawa dia lebih baik daripada kita.

Keduanya, jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah dalam hati bahawa anak itu jauh lebih baik daripada kita yang banyak melakukan maksiat kepada-Nya.

Ketiga, apabila bertemu dengan orang tua, ucapkanlah dalam hati bahawa ibadatnya kepada Allah SWT sudah tentu jauh lebih lama dan banyak daripada kita dan tentu dia lebih baik daripada kita.

Keempat, sekiranya bertemu dengan orang berilmu, ucapkanlah dalam hati bahawa orang ini mempunyai kelebihan yang tidak kita perolehi, mencapai kedudukan yang belum pernah kita capai, mengetahui apa yang tidak kita ketahui dan mengamalkan ilmunya.  Sudah tentu dia lebih baik daripada diri kita.

Sesungguhnya semua sangkaan baik ini akan membantu kita membina sebuah kehidupan yang jauh lebih tenang dan bahagia bersama orang yang kita sayang tanpa perlu memikirkan perkara yang tidak elok.  Semoga bermanfaat.