Berbaik sangka sesama Muslim

dreamstime_s_106391776
Berbaik sangka sesama Muslim © Odua | Dreamstime.com

Hubungan yang baik sesama manusia adalah merupakan satu maqasid, iaitu tujuan syariat Islam yang meliputi berlapang dada, mesra, belas kasihan, berkasih saying dan sebagainya. Oleh sebab itu menjadi satu kewajipan untuk setiap Muslim mengekalkan hubungan baik sesama insan dan berbaik sangka sesama Muslim.

Sewajarnya setiap manusia bertemu mesra dengan dada yang lapang. Seterusnya perlulah berbaik sangka dalam hubungan sesame manusia sekaligus menjauhkan sikap memandang serong terhadap amalan, pegangan dan perkataan mereka.

Sifat berbaik sangka kian terpinggir

Jika diperhatikan hubungan sesama manusia hari ini, sifat berbaik sangka ini kian terpinggir. Ikatan persaudaraan yang lemah dan ukhuwah yang semakin longgar menyebabkan mudah terjadinya perasaan buruk sangka.

Bahaya apabila penyakit Su’al-zan (Su’udzon) iaitu buruk sangka menular dalam diri manusia. Seseorang akan mudah hilang pertimbangan dan akan segera membuat kesimpulan untuk menuduh dan menyalahkan orang lain terhadap sesuatu perkara yang berlaku. Semua ini adalah perosak sikap berkasih sayang sesama insan.

Buruk sangka sangkaan terbina di atas dasar agak-agak atau satu amalan yang diragukan. Buruk sangka akan menjadikan seseorang menurut sahaja perasaannya dan membuat tohmahan terhadap saudaranya. Maka dengan itu sifat al-zan akan menguasai hati dan dirinya.

Kesan negatif dari sifat ini ialah, orang yang penuh dengan sifat prasangka akan merasakan sesetengah orang itu membuat kesalahan hanya berdasarkan sangkaannya sahaja.

Bersihkan hati daripada kotoran prasangka yang mengundang dosa

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat, ayat 12 yang membawa maksud:

“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari keaiban orang lain dan janganlah kamu mengumpat akan sesetengah yang lain.”

Ini jelas merupakan satu teguran dan seruan agar kita tidak membiarkan diri menjadi mangsa kepada apa sahaja yang terlintas di hati terhadap keadaan orang lain. Allah SWT mahu membersihkan hati kita daripada kotoran prasangka terhadap saudaranya yang akhirnya hanya mengundang dosa.

Alangkah indahnya jika hidup dalam bermasyarakat ini bebas daripada prasangka. Marilah kita sama-sama berusaha untuk sentiasa memaafkan, tinggalkan sikap mencari kesalahan dan keburukan orang lain.

Semoga dengan ini kita sentiasa dapat bersangka baik terhadap sesama saudara Muslim.