Buletin SalamWebToday
Daftar untuk mendapatkan artikel SalamWeb Today setiap minggu!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Berbakti, bukan berbuat dosa kepada ibu bapa

Keluarga 11 Dis 2020
Hanita Hassan
Jangan berbuat dosa dan derhaka kepada ibu bapa
Jangan berbuat dosa dan derhaka kepada ibu bapa © Bunlue Nantaprom | Dreamstime.com

Berbakti kepada kedua ibu bapa besar pahalanya.  Ia adalah tuntutan dalam Islam.  Sesiapa sahaja yang derhaka kepada ibu bapa, maka dia berdosa besar.  Beruntunglah jika kita sempat bersama dan berbakti kepada kedua ibu bapa.

Ini kerana berbakti kepada kedua orang tua adalah kunci ke syurga.

Berbakti dan memuliakan ibu bapa

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ahh”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

(Surah al-Isra, ayat 23)

Berbakti kepada ibu bapa bukan sahaja sewaktu mereka masih hidup, tetapi juga sesudah meninggal dunia.  Walau bagaimanapun, sekiranya kita dapat bersama ibu bapa tetapi tidak menggunakan kesempatan itu untuk membolehkan kita dimasukkan ke dalam syurga, maka kita adalah orang yang sehina-hinanya.

Seperti yang pernah ditegaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Baginda bersabda yang maksudnya:

“Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.”

(Hadis riwayat Muslim, 2551)

Berbakti kepada ibu bapa semasa mereka hidup.  Kita hendaklah sentiasa bercakap dengan nada yang lemah lembut.  Tidak mengguris hati mereka dengan perkataan yang kasar.

Kita menghulurkan wang untuk perbelanjaan mereka mengikut kemampuan.  Mengambil tahu keadaan kesihatan mereka dengan berhubung melalui telefon bertanya khabar.

Jangan berbuat dosa dan derhaka kepada ibu bapa

Setiap kali solat, titipkan doa buat mereka agar sentiasa mendapat kerahmatan Allah SWT, sihat dan dipermudahkan untuk beribadat kepada-Nya.  Sekiranya ibu bapa kita sakit, segeralah bawa ke hospital dan mendapatkan rawatan.  Santuni mereka tanpa jemu apabila usia mereka semakin lanjut.

Berbakti kepada ibu bapa tidak terhenti apabila mereka telah meninggal dunia.  Ia berterusan dengan mendoakan mereka supaya ditempatkan bersama orang yang beriman.  Sekiranya ibu bapa kita mempunyai hutang, lunaskan dengan segera.  Apatah lagi jika hutang tersebut hutang yang wajib seperti puasa, haji, nazar dan sebagainya.

Hutang sesama manusia juga perlu diselesaikan setakat termampu.  Ziarahi kawan-kawan ibu bapa kita dan tunaikan wasiat yang ditinggalkan.  Bersedekah dan membacakan al-Quran dengan niat khusus kepada kedua ibu bapa kita.

Justeru, berilah khidmat terbaik kepada kedua orang tua kita tidak kira semasa mereka  hidup di dunia mahupun selepas meninggal dunia.  Sesungguhnya dosa orang yang menderhakai ibu bapa mereka akan dipercepatkan oleh Allah SWT di dunia lagi.

Sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.” 

(Hadis riwayat al-Hakim, 7263)

Semoga kita menjadi anak yang soleh dan solehah dan sentiasa menghulur bakti kepada ibu ayah tercinta.