Berbakti dan mentaati kedua ibu bapa

Taat kepada ibu bapa © Khaffizzul Abdullah | Dreamstime.com

Setiap anak wajib taat kepada kedua ibu bapa yang melahir dan membesarkan kita sehingga menjadi manusia berguna. Nabi Muhammad SAW mengingatkan kepada umatnya bahawa keredaan Allah SWT itu terletak kepada keredaan kedua ibu bapa. Begitu juga dengan kemurkaan Allah, bergantung kepada kemurkaan orang tua kita.

Jika disingkap di dalam al-Quran, banyak ayat-ayat yang diturunkan yang menyentuh tentang kewajipan anak kepada ibu bapa di samping adab-adab lain yang mesti dipelihara ketika bersama mereka.

Firman Allah SWT dalam al-Quran: “Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israel (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa.”  (Surah al-Baqarah, ayat 83)

Bertuahlah kita sekiranya dapat berbakti kepada ibu bapa semasa mereka masih hidup.  Nabi SAW pernah menyatakan bahawa orang yang hina adalah orang yang sempat bersama ibu bapanya tetapi kesempatan itu tidak membolehkan dia dimasukkan ke dalam syurga.

Justeru ketika kita masih mempunyai kesempatan, berbuat baiklah kepada kedua orang tua.  Jangan sesekali kita meninggi suara di hadapan ibu bapa, bantulah  mengikut kadar kemampuan serta taat dan tidak menderhaka kepada mereka.

Selepas kematian kedua ibu bapa kita, bantulah mereka dengan melangsaikan hutang-hutang yang wajib dibayar.  Seperti puasa, haji, nazar dan sebagainya. Di antara dalilnya daripada Ibn Abbas r.a.: “Telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki, lalu berkata:  Wahai Rasulullah!  Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan ke atasnya puasa Ramadan (meninggalkan puasa). Adakah aku perlu qadha puasa bagi pihaknya?  Rasulullah SAW bersabda:  “Ya, kerana hutang dengan Allah SWT lebih berhak untuk tunaikan.”  (Hadis riwayat al-Bukhari, 1953)

Kita juga hendaklah sentiasa mendoakan mereka sama ada semasa mereka hidup mahupun selepas meninggal dunia.  Doa anak yang soleh kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia adalah amalan yang tidak terputus. Allah SWT telah menfirmankan dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu merendahkan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata):  “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidiku semasa kecil.”  (Surah al-Isra, ayat 24)

Di sampang itu, kita digalakkan menziarahi rakan-rakan dan sahabat-sahabat kepada kedua ibu bapa sebagai cara untuk menyambung silaturahim.  Islam menggalakkan kita untuk bersilaturahim dengan sesiapa sahaja. Ia tidak tertakluk kepada ahli keluarga sahaja.  Ini berlandaskan nas daripada Anas bin Malik r.a, bahawa Nabi SAW bersabda: “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturahim.”  (HR al-Bukhari, 5986)

Sedekah dengan niat untuk ibu bapa juga boleh dilakukan walaupun mereka telah meninggal dunia.  Daripada Ibn Abass r.a. bahawa Sa’ad pernah bertanya Rasulullah SAW: “Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan belum sempat dia berwasiat.  Maka bolehkah aku bersedekah untuknya?  Baginda SAW menjawab:  Ya.” (HR al-Nasa’ie, 3654)

Sesungguhnya tanggungjawab kita kepada ibu bapa amat besar berdasarkan ayat Quran dan hadis yang telah dikongsi ini.  Semoga kita istiqamah dalam melaksana tugas dan peranan sebagai anak dan terus berbakti kepada mereka selagi hayat dikandung badan.