Berbasikal hobi sihat

Kesihatan Hanita Hassan
Berbasikal hobi sihat
Berbasikal hobi sihat © Odua | Dreamstime.com

Berbasikal adalah hobi yang sihat dan semakin popular dalam kalangan masyarakat.  Tidak kira kanak-kanak, remaja atau golongan dewasa, aktiviti melibatkan basikal sering digunakan untuk mendapatkan badan yang sihat dan cergas.

Ia juga sebagai cara terbaik untuk mengurangkan tahap tekanan bagi anda yang bekerja di samping memperbaiki tahap kesihatan diri.

Berbasikal hobi sihat

Setiap kali cuti hujung minggu, anda boleh melihat suasana berbasikal di taman-taman rekreasi.  Anda juga boleh memanfaatkan laluan trek yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).  Antaranya di Forest Research Institute of Malaysia (FRIM) yang menyediakan trek 10, 20, 30 kilometer dan juga Bukit Cherakah, sebuah taman agrikultur yang berkeluasan 1,295 hektar yang indah dan nyaman untuk ketenangan fikiran.

Selain itu anda juga boleh berbasikal di Taman Tasik Titiwangsa, Taman Botani Perdana, Taman Kepong Metropolitan, Taman Saujana Hijau, Putrajaya, Taman Wetland, Putrajaya, Laluan trek berbasikal Shah Alam dan Taman Cabaran Putrajaya.

Berbasikal adalah aktiviti yang bukan sahaja murah, malahan selamat dan efektif untuk menurunkan berat badan.  Bagi anda yang sering melakukan senaman di gim selepas waktu bekerja atau pada waktu malam, anda boleh bertukar angin dan mencuba riadah berbasikal.  Sekurang-kurangnya anda menunggang selama 150 minit seminggu.  Ia adalah aktiviti yang lebih baik berbanding pengambilan pil diet yang mendatangkan keburukan daripada kebaikan semata-mata mahu menguruskan badan.

Semakin ramai yang menjadikan basikal sebagai gaya hidup baharu.  Ia juga turut digunakan sebagai pengganti kepada kenderaan awam, motosikal atau kereta ke tempat kerja.  Selain menjimatkan wang, anda juga boleh menjimatkan masa dari segi kesesakan lalu lintas.

Di Malaysia khususnya di negeri Melaka, kerajaan begitu menggalakkan penggunaan basikal. Ia boleh membantu usaha membudaya amalan hijau bagi mengurangkan pelepasan karbon.  Lorong untuk berbasikal turut disediakan kepada pengguna basikal.

Di negara paling maju, penggunaan basikal adalah amalan biasa seperti di New York, Jerman, England dan Jepun.  Begitu juga dengan negara-negara membangun selain negara-negara dunia ketiga.

Aktiviti berbasikal meningkat sewaktu pandemik

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyifatkan krisis COVID-19 telah menghentikan perjalanan aktiviti dunia tetapi bukan aktiviti berbasikal.  Ia malahan semakin popular di banyak bandar besar dunia.

Data Institute for Transportation & Development Policy (ITDP) mendapati jumlah mereka yang melalui lalu lintas di Jakarta dengan berbasikal meningkat hingga 1,000% sewaktu pandemik.  Selepas tamat perintah kawalan sosial, pada Jun lalu, ia meningkat sekitar 52,000 berbasikal melintasi 32 lokasi bebas kenderaan bermotor Jakarta.

Begitu juga trend di peringkat global.  Jumlah golongan berbasikal di kota Edinburgh, Scotland menurut data dari Cycling Scotland mendapati meningkat 252% selama hari kerja pada April lalu. Jumlahnya naik hampir dua kali ganda menjadi 454 peratus pada cuti hujung minggu.

Seorang individu seberat 100 kilogram atau 220 paun yang mengayuh basikal ke tempat kerja setiap hari akan membakar hingga 1,050 kcal dalam tempoh satu jam perjalanan.  Maknanya individu yang berbasikal mampu membakar sejumlah 5,250 kcal pada tubuhnya dalam masa lima hari bekerja tanpa perlu mengamalkan diet berbahaya.

Kajian mendapati berbasikal boleh menstabilkan keseluruhan otot tubuh terutama di bahagian bahu dan pinggul.  Ia sekali gus dapat menghasilkan postur tubuh yang menarik sepertimana yang diidamkan semua.

Justeru, marilah kita amalkan gaya hidup sihat kerana ia amat digalakkan oleh Islam. Sesungguhnya kehidupan sihat adalah amanah dalam hubungan manusia dengan Allah SWT.