Berbuat baik dan larangan menyakiti hati jiran  

Masyarakat Md Wa'iz
Md Wa'iz
Berbuat baik dan larangan menyakiti hati jiran  
Berbuat baik dan larangan menyakiti hati jiran © - Dreamstime.com

Dalam Islam, jiran diangggap sebagai salah satu kelompok yang paling hampir dengan kita selain ahli keluarga dan juga rakan-rakan. Kita dituntut untuk sentiasa berbuat baik dengan jiran tetangga dan adanya larangan menyakiti hati jiran.

Malah, terdapat larangan yang menegah kita daripada menyakiti hati dan perasaan jiran. Apakah balasan bagi mereka yang menyakiti hati jiran?

Suruhan supaya berbuat baik dengan jiran tetangga

Dalam Al-Quran, Allah SWT ada menerangkan suruhannya untuk berbuat baik dengan jiran. Maksud daripada firman Allah berkenaan menghormati jiran adalah seperti berikut:

“Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu menyekutukanNya dengan sesuatu yang lain. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.”

(Al-Quran, Surah An-Nisa’, ayat 36)

Dalam ayat tersebut, Allah Taala bukan menggalakkan atau meminta kita untuk menghormati jiran, tetapi sebenarnya menyuruh kita melakukannya.

Suruhan tersebut adalah bersifat wajib dan bukannya satu pilihan. Tuntutan untuk menghormati sesama jiran ini adalah sama hukumnya dengan tuntutan untuk menyembah Allah SWT.

Berbuat baik dan larangan menyakiti hati jiran  

Terdapat beberapa hadis yang melarang kita untuk menyakiti hati jiran. Malah, ada juga hadis yang menjelaskan mengenai balasan bagi mereka yang mengingkari suruhan ini. Abu Hurairah Radiallhuanhu ada meriwayatkan satu hadis yang bermaksud:

“Telah berkata seorang lelaki kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya wanita ini terkenal dengan banyaknya solat, berpuasa dan bersedekah tetapi dia sentiasa menyakiti jirannya dengan lidahnya.” Lalu Nabi SAW bersabda: “Dia akan masuk ke dalam neraka.”

(Hadis riwayat Ahmad)

Hadis ini menyatakan dengan jelas bahawa mereka yang menyakiti hati jiran akan dimasukkan ke neraka walaupun banyak amal solehnya dengan Allah Taala.

Dengan hanya satu kejahatan yang dilakukan, kesemua amal kebaikannya hanya menjadi sesuatu yang sia-sia sahaja.

Jaga hubungan sesama manusia

Suruhan untuk menjaga hubungan dengan jiran bertujuan mendidik manusia untuk turut menjaga hubungan sesama manusia. Amal soleh seperti solat dan sedekah adalah antara amalan yang mendekatkan diri seseorang itu dengan Allah SWT.

Namun, kehidupan kita di dunia saling berkaitan dengan manusia yang lain. Apatah lagi dengan jiran yang tinggal berhampiran dengan kita.

Oleh itu, ingatlah dan sama-sama kita saling mengingati. Tiada guna jika banyak amal ibadah, tetapi lidah kita tajam menyakiti hati orang lain.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.