Berbuka Di Hotel Membazir? Ini Pendapat Maya Karin

Apabila tiba waktu untuk berbuka puasa, pasti macam-macam yang kita idamkan untuk makan ketika berbuka sehingga kadang-kadang kita sanggup membazir membeli makanan yang akhirnya tidak dimakan.

Menurut laporan daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), sebanyak 15,000 tan metrik makanan sehari dibuang oleh rakyat Malaysia dan 3,000 tan metrik daripadanya adalah makanan masih elok yang tidak sepatutnya dibuang.

Di dalam al-Quran, Allah S.W.T. ada menyebut tentang membazir di dalam surah Al-Isra’ ayat 27 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Pelakon, penyanyi dan aktivis alam sekitar terkenal Maya Karin telah memuatnaik status luahan perasaannya tentang harga bufet Ramadan yang tidak masuk akal.

Kata Maya dalam statusnya itu, dia ‘fed up’ dengan harga bufet Ramadan yang ditawarkan yang terlalu mahal namun masih ada orang dan syarikat yang masih sanggup membayarnya.

Maya turut membuat perbandingan harga untuk dewasa iaitu RM150-200 dan kanak-kanak RM80-100. Pelakon filem Munafik 2 itu turut mempersoalkan harga yang dikenakan untuk kanak-kanak kerana mereka hanya makan dalam kuantiti yang sikit.

Disebabkan itu, Maya menolak untuk berbuka puasa di hotel dan memberi pesanan supaya siapa yang makan di tempat yang mahal seperti itu jangan meroyan tentang masalah ekonomi.

Ramai juga netizen yang menyokong kenyataan Maya itu termasuklah beberapa selebriti tempatan. Di ruangan komen pula ada yang sempat berkongsi tempat berbuka puasa yang menawarkan harga bufet yang lebih rendah.

Namun perkara ini agak subjektif untuk kita perdebatkan. Ianya berbalik kepada diri kita sendiri. Kita seharusnya berfikir dengan bijak tentang matlamat serta pengurusan kewangan kita. Jika anda rasa mampu, tidak salah sekali sekali untuk berbuka puasa di hotel mahupun restoran mewah. Namun jangan pula kita lupakan insan-insan yang lebih memerlukan makanan untuk berbuka.

 

Sumber : Instagram Maya Karin dan Utusan Malaysia