Berbuka Puasa Dengan Hidangan Mesir Menyelerakan

Berbuka puasa dengan menu dari Mesir mungkin sesuatu yang agak asing bagi rakyat Malaysia. Ini kerana ramai yang lebih suka mencari menu-menu tradisional sebagai santapan selera. Namun, sesekali bolehlah mencuba sesuatu yang berbeza.

Sempena Ramadan ini, buat julung-julung kalinya restoran Tut’s Egyptian Eatery mempersembahkan Bufet Ramadan yang menawarkan lebih daripada 25 jenis hidangan Mesir yang membuka selera.

Lupakan Murtabak, Nasi Beriani, Nasi Lemak, Mi Kari atau Apam Balik buat seketika dan panjangkan langkah ke Tut’s Egyptian Eatery untuk berbuka puasa.

 

Bufet yang berharga RM59.90 untuk dewasa dan RM29.90 untuk kanak-kanak berusia 5 ke 11 tahun ini menyediakan masakan atau hidangan yang mewah dengan rasa.

Antara menu yang tersedia ialah Royal Rice, Baked Rice, Fatta, Moussaka with Bechamel, Egyptian Bamya, Egyptian Stew, Tut’s Fried Chicken, dan Beef Kofta.

Bagi penggemar hidangan pemanis mulut, jangan lupa menikmati hidangan pemanis mulut tradisional masyarakat Mesir seperti Roz b Laban yang merupakan kombinasi puding beras yang dihidang bersama sos vanilla dan susu, Sobya Mousse yang mengandungi kismis atau kayu manis untuk membangkitkan selera serta Om Ali yang merupakan puding roti yang dimeriahkan dengan kekacang, kismis dan juga perisa kulit kayu manis.

Menurut Pengurus Operasi restoran ini, Youssef Tarek, pihaknya percaya menu-menu dari Mesir ini boleh memikat selera penduduk tempatan. Ini kerana kebanyakkan menu yang dihidangkan sesuai dengan masyarakat Malaysia yang gemarkan masakan berempah.

“Selera masyarakat Malaysia dan Mesir sebenarnya punya persamaan. Mereka gemarkan makanan yang berlemak, berminyak dan berempah. Jadi menu yang kami hidangkan di sini mempunyai ciri-ciri ini.”

Malah, ada juga beberapa menu yang telah diubah sedikit bahan-bahannya untuk disesuaikan dengan selera masyarakat Malaysia. Antara menu yang mesti dicuba ialah Baked Rice, Moussaka with Bechamel, Egyptian Bamya dan juga Egyptian Stew,” ujar Youssef.

Bagi memastikan pengunjung tidak mudah jemu dengan hidangan bufet yang disediakan, restoran ini akan menukar pilihan menu pada setiap tiga hari. Jadi, tidak menjadi isu jika anda ingin berbuka puasa ke sini beberapa kali.

Untuk maklumat lanjut tentang Tut’s Egyptian Eatery, sila layari http://tutseatery.com atau https://www.facebook.com/tutsmy/

 

Foto: Ihsan Tut’s Egyptian Eatery