Berfesyen dengan busana muslimah

Fesyen Hanita Hassan 15-Jun-2020
Fesyen busana muslimah © Odua | Dreamstime.com

Wanita dan fesyen sentiasa sinonim.  Ia tidak boleh terpisah.  Sebagai wanita muslimah yang bekerjaya, busana yang sesuai amat penting untuk dikenakan sewaktu di pejabat mahupun ketika bersosial.  Selain kemas, anggun dan menarik, ia juga perlu menutup aurat dan tidak menjolok mata.

Tidak seperti dahulu, hari ini kaum isteri yang bergelar suri rumah turut meraikan fesyen.  Mereka juga mahu kelihatan anggun sepanjang masa terutama pada mata suami walaupun duduk di rumah sahaja.

Fesyen adalah gaya berpakaian. Ia berubah seputar perkembangan fesyen tempatan mahupun antarabangsa.  Sebagai wanita Muslim yang berhijab, terdapat banyak pilihan busana yang bersesuaian boleh diperoleh di butik-butik mahupun gedung-gedung beli-belah awam.

Pereka fesyen sudah mula cakna dengan perkembangan busana muslimah. Fesyen yang ditonjolkan juga bersesuaian dengan wanita bertudung.  Anda boleh memilih padanan baju bersesuaian. Ada fesyen yang ringkas dan santai, malah mudah diurus. Paling penting ia selari dengan trend pemakaian terkini.

Bagi yang berani dan punya gaya tersendiri, anda boleh bereksperimen dengan warna dan corak, gaya serta jenama mahupun jenis fabrik itu sendiri. Meskipun berhijab, anda masih boleh kelihatan feminin, lasak, sofistikated, santai dan hip hop.

Tidak bersalahan sekiranya anda mahu mencuba menggayakan elemen berbeza.  Ini termasuklah yang berbentuk jengki, chic atau funky.  Tidak ada salahnya dalam berfesyen asal sahaja menutup aurat dan tidak menampakkan susuk tubuh.

Islam tidak menentukan model pakaian tertentu, malah menyerahkan kepada anda untuk memilihnya asal sahaja selesa dan menepati fungsi pakaian untuk menutup aurat.  Sebagaimana yang difirmankan Allah SWT dalam Al-Quran:

“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan.  Dan pakaian takwa itulah yang paling baik.  Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.”  (Surah al-Araf, ayat 26)

Prinsip utama yang menjadi dasar agar berpakaian ialah menutup aurat.  Ia bersesuaian dengan hukum Islam.  Aurat lelaki adalah antara pusat sampai ke lutut manakala aurat wanita adalah seluruh badan kecuali dua tapak tangan dan wajah.

Syariat menutup aurat telah bermula sejak zaman Nabi Adam a.s. dan Hawa a.s. ketika mereka mendekati pohon yang dilarang oleh Allah SWT untuk mendekatinya.  Firman Allah dalam Al-Quran bermaksud: “(Yakni serta merta dan dengan cepat) tatkala keduanya telah merasakan buah pohon itu, tampaklah bagi keduanya aurat masing-masing dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun syurga secara berlapis-lapis.”  (Surah al-A’raaf, ayat 22)

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Dua (jenis manusia) dari ahli neraka yang aku belum melihatnya sekarang yaitu; kaum yang membawa cemeti-cemeti seperti seekor sapi, mereka memukul manusia dengannya, dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berjalan berlengang lenggok, kepala mereka seperti bongkol unta yang condong. Mereka tidak akan masuk syurga bahkan tidak akan mendapat wanginya dan sungguh wangi syurga itu telah tercium dari jarak perjalanan sekian dan sekian.”  [Hadis riwayat Imam Muslim, dalam kitabnya Sahih Muslim (20128)]

Justeru, berfesyenlah mengikut syariat yang telah ditetapkan.  Pada akhirnya, anda juga yang akan menanggung semua kesulitan atas kesilapan sendiri.