Berguru demi ilmu, bina generasi baharu

Kehidupan Hanita Hassan 15-Mei-2020
Guru dan murid © Pongpipat Yatra | Dreamstime.com

Guru adalah pelita hidup yang menerangi murid sepanjang waktu.  Ungkapan ini sering diucapkan untuk mengangkat serta menyanjung tinggi martabat guru.  Peranan dan sumbangan guru yang tidak ternilai kepada anak bangsa diraikan pada 16 Mei setiap tahun, semenjak 1956.

Sambutan Hari Guru diraikan sebagai tanda penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka. Ia juga sebagai dorongan kepada guru untuk terus berjuang dan mempertingkat kualiti dalam mendidik pelajar.

Betapa besarnya jasa guru sehingga telah diabadikan dalam sebuah sajak berjudul ‘Guru oh Guru’ karya Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Usman Awang. Antara bait-bait puisinya:

“Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta,

Jika hari ini seorang ulama yang mulia,

Jika hari ini seorang peguam menang bicara,

Jika hari ini seorang penulis terkemuka,

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa,

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,

Dengan lembutnya sabarnya mengajar tulis-baca.”

Guru adalah pendidik, pembimbing dan pendorong. Guru juga penyampai ilmu, penggerak dan penasihat.  Mulianya tugas guru terutama bagi melahirkan murid yang beriman dan beramal soleh, berdisiplin dan sentiasa mentaati ibu bapa dan guru.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:  “Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat.”  (Surah Al-Mujaadalah, ayat 11)

Islam meletakkan tugas sebagai guru yang melaksana tugas tarbiah di tempat yang mulia.  Seluruh masa yang digunakan dikira sebagai ibadah, setiap langkah dari rumah ke sekolah dan pulang ke rumah semula akan mendapat satu pahala dan dihapuskan satu dosa.

Tugas guru menyampaikan ilmu secara hikmah dan ikhlas, semata-mata kerana Allah SWT, merupakan jihad yang paling tinggi pada pandangan Islam sepertimana yang dituntut dalam syariat Islam.

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.”  (Surah al-Nahl, ayat 125)

Hari Guru tahun ini mencipta sejarah buat warga pendidik.  Tiada lagi sambutan istimewa, tiada lagi hadiah yang ditunggu daripada murid-murid. Semua ini disebabkan oleh pandemik  koronavirus baru COVID-19.

Guru berdepan cabaran besar  apabila sesi pembelajaran konvensional  terpaksa ditukar kepada sesi dalam talian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana. Namun, ia telah memberi pengalaman baharu kepada guru untuk cakna teknologi seiring pembelajaran abad ke-21, sekali gus memahirkan diri dengan pembelajaran dalam talian.

Semoga warga pendidik tetap bersemangat menjalankan amanah untuk terus menyampaikan ilmu berguna kepada pelajar walaupun berdepan normal baharu. Selamat Hari Guru, cikgu. Berguru demi ilmu, bina generasi baharu.