Berhadapan dengan situasi meracuni fikiran

Kehidupan Nur Adibah Ramly 07-Sep-2020
dreamstime_s_153024991
Berhadapan dengan situasi yang meracun fikiran © Bohdana Smiian | Dreamstime.com

Ada ketika dalam hidup, anda berdepan situasi dengan seseorang yang meracuni pemikiran dan ia perkara yang tidak sihat. Meskipun sabar itu adalah sifat baik yang sangat penting dalam Islam, itu tidak bermakna anda harus berdepan dengan situasi ini tanpa melakukan apa-apa.

Sepertimana sabda Nabi Muhammad SAW  yang bermaksud: “Sesungguhnya, dirimu sendiri mempunyai hak atasmu, berpuasa dan berbuka puasa, solat dan tidur.” (Hadis riwayat Abu Dawud). Oleh itu, anda hendaklah mengetahui tentang hak anda dan tidak sembarangan membiarkan diri diperguna atau diperlaku dengan sangat buruk.

Membiarkan diri terus mempunyai hubungan dengan orang sebegini atau yang membuat anda berasa jelik adalah sangat merugikan kerana ia hanya akan menghalang anda menjalani kehidupan mengikut  kemahuan anda. Matlamat dan cita-cita yang anda impikan akhirnya tertangguh dan boleh jadi musnah kesan daripada situasi buruk yang harus anda lalui.

Tambahan pula, situasi seperti ini memberi kesan yang negatif terhadap kestabilan minda dan emosi anda. Seluruh kehidupan anda akan dikelilingi keadaan dan orang yang negatif.  Anda mula berasa bimbang sehingga berfikir seolah-olah hampir tidak dapat menjalani kehidupan dengan cara biasa. Anda tertekan dengan setiap perkara dalam hidup disebabkan satu punca negatif yang berlaku. Anda berasa lebih penat dan menjadi tidak bersemangat disebabkan perkara tersebut.

Keadaan ini  boleh mempengaruhi kesihatan fizikal. Anda akan menjadi kurang fokus sedangkan anda perlu mengekalkan gaya hidup sihat,  diet yang seimbang dan selalu bersenam. Anda mula tidak mengurus diri dan kesihatan. Dalam hal ini, betapa pentingnya kesabaran sepertimana yang diajar  Islam.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 153)

Anda perlu sentiasa meletakkan di fikiran, bahawa mesti terus meningkatkan kesabaran, namun ia tidak bermaksud Islam mengajar untuk tidak mempertahan diri. Nabi Muhammad SAW bersabda dalam sebuah hadis mengenai pentingnya berusaha menjaga diri dan seterusnya meletak pergantungan kepada Allah SWT dan bukan hanya mementingkan diri sahaja.

Seseorang bertanyakan kepada Nabi Muhammad SAW mengenai apakah ia harus mengikat untanya lalu tawakal kepada Allah SWT atau melepaskan unta tersebut sambil bertawakal kepada Allah SWT. Lalu, Nabi Muhammad pun menjawab, “Ikatlah dahulu untamu itu kemudian baharu engkau bertawakal” (HR at-Tirmidzi no. 2517, hasan)

Andalah yang bertanggungjawab ke atas hidup dan setiap tindakan yang diambil dan ia akan dihitung di hadapan Allah SWT kelak. Lakukanlah yang terbaik untuk melindungi diri terutama dalam situasi berkaitan keracunan fikiran ini.  Bertawakkal kepada Allah, serta berusaha untuk bersikap proaktif.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah Ar Ra’d, ayat 11)