Beri Anak Anda 5 Snek Berkhasiat Ini

Sebagai ibu bapa, antara cabaran terbesar yang perlu dihadapi pada zaman serba moden ini adalah tentang bagaimana untuk memastikan anak-anak mendapat bekalan makanan yang sihat dan tidak memudaratkan kesihatan.

Dengan lambakan pelbagai jenis snek makanan ringan di pasaran, setiap hari anak-anak terdedah dengan berbagai-bagai jenis makanan yang bukan sahaja tidak mengandungi zat makanan yang diperlukan, malahan mampu membahayakan kesihatan jika diambil secara kerap.

Sebagai kanak-kanak, naluri mereka untuk menikmati apa-apa sahaja makanan yang dilihat menyelerakan dan menarik sememangnya tidak dapat disekat.

Namun, sebagai ibu bapa, apa yang patut dilakukan untuk memastikan anak-anak anda tidak memakan makanan yang boleh membahayakan kesihatan? Namun pada masa sama, ia masih enak dan menarik untuk dinikmati oleh mereka.

Berdasarkan Panduan Diet Malaysia Untuk Kanak-Kanak dan Remaja (2013), selain tiga kali waktu makan utama, kanak-kanak yang sedang membesar disarankan mengambil snek tambahan iaitu minum pagi, minum petang dan minum malam bagi memastikan keperluan tenaga dan nutrien mereka mencukupi.

Justeru, SalamToday ingin berkongsi dengan anda mengenai cadangan bagi 5 makanan ringan atau snek yang perlu dielakkan oleh anak-anak dan pilihan makanan berkhasiat yang boleh disediakan kepada mereka.

1. Gantikan chip kentang dengan chip keledek

Chip kentang adalah antara makanan ringan yang sangat digemari oleh kanak-kanak dan orang dewasa. Terdapat pelbagai jenama yang boleh didapati dengan mudah di pasaran dalam pelbagai harga termasuklah semurah RM0.30 sen.

Namun, ia amat tinggi dengan lemak, sodium, kalori dan mampu meningkatkan kadar gula dalam darah dengan mendadak.

Jadi, apa kata anda menggantikan chip kentang dengan menggunakan chip keledek yang dibuat sendiri kerana keledek mengandungi zat yang lebih padat jika kita bandingkan dengan kentang biasa.

Ia kaya dengan vitamin A (beta carotene) bagi keledek berwarna oren keemasan atau kaya dengan anthocyanins iaitu sejenis anti oksida semulajadi yang di dapati di dalam tumbuh- tumbuhan (jika berwarna ungu pekat) . Keledek juga kaya dengan vitamin C, zat besi dan tinggi serat.

Cara menyediakannya adalah potong keledek secara memanjang dan hiris nipis. Goreng dengan minyak atau air fryer untuk kaedah lebih sihat. Taburkan sedikit garam bukit ataupun serbuk kayu manis untuk menambah perisa.

 

2. Buat sendiri muffin gandum dan buah-buahan

Kanak-kanak mana yang tidak gemar makan muffin? Rupa bentuknya yang menarik dan menyelerakan serta teksturnya yang lembut dan enak membuatkan sesiapa sahaja terbuai dengan kenikmatan rasanya.

Namun, ia sebenarnya adalah makanan yang tidak sihat untuk anak-anak kerana sarat dengan kandungan gula dan tepung, sekali gus menjadikannya sebagai antara makanan yang mempunyai nutrisi sifar.

Jadi, jika anak anda merengek meminta muffin, anda boleh membuat sendiri muffin gandum atau buah-buahan yang telah dikurangkan kandungan gulanya agar anak anda dapat menikmati muffin yang lebih sihat.

 

3. Jus oren sebenar

Jus oren sering dijadikan minuman untuk bersarapan kerana kandungan buah oren yang kaya dengan vitamin C selain membekalkan serat dan membantu meningkatkan kesihatan usus.

Namun, berhati-hati dengan jus oren yang dijual di pasaran kerana ia berkemungkinan mengandungi jus tiruan beserta kandungan gula yang amat tinggi.

Jika anda tidak pasti sama ada jus oren yang dijual itu asli atau bukan, apa kata anda sediakan sendiri jus oren sebenar untuk bekalan anak anda ke sekolah. Kisar sahaja buah oren dan bancuh, kemudian masukkan ke dalam bekas minuman seperti yang dijual di pasaran. Anda anda pasti menyukainya!

 

4. Pelbagaikan jenis sandwich

Sandwich yang kebiasaannya menjadi kegemaran kanak-kanak adalah yang diisi dengan inti sosej, daging burger atau hirisan daging lembu segera yang sememangnya diketahui mengandungi bahan pengawet.

Justeru, apa yang boleh anda lakukan adalah dengan mempelbagaikan menu sandwich dengan meletakkan inti yang mengandungi lebih nutrien seperti sandwich keju, tomato, timun, telur atau mentega kacang. Namun sesekali, anda boleh memberikan anak-anak anda menikmati sandwich daging lembu sekali dalam seminggu.

 

5. Biskut kering gandum

Biskut kering merupakan antara makanan ringan yang popular kerana ia mampu mengenyangkan kita buat seketika. Hakikatnya, ia diperbuat daripada tepung yang diproses, minyak dan bahan pengawet.

Jadi, jika ingin membeli biskut kering untuk simpanan di rumah, belilah biskut kering gandum yang bukan sahaja dapat memberikan anak anda lebih tenaga, malahan mengenyangkan dengan lebih lama.

Anda juga boleh menambah keenakan biskut gandum tersebut dengan menghidangkannya bersama hirisan keju, salmon, tomato, timun atau buahan yang dihiris kecil dan diletakkan di bahagian atas biskut tersebut.

Anak anda pasti lebih menggemarinya!

 

Sumber: The Asian Parent Malaysia

Foto: Breakingpic, Freestocks.org, Icon0.com, Suzy Hazelwood & Pixabay (Pexels)

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Berdasarkan Panduan Diet Malaysia Untuk Kanak-Kanak dan Remaja (2013), selain tiga kali waktu makan utama, kanak-kanak yang sedang membesar disarankan mengambil snek tambahan iaitu minum pagi, minum petang dan minum malam bagi memastikan keperluan tenaga dan nutrien mereka mencukupi.